Calon SPM 2020 kuasai tahap minimum KBAT catat peningkatan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keupayaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menguasai tahap minimum Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), menunjukkan peningkatan pada 2020 dengan 88.17 peratus calon telah menguasainya, berbanding 86.70 peratus calon pada 2019.
Menurut Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2020 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini, sebanyak 19.36 peratus calon SPM 2020 dikategorikan sebagai cemerlang, 31.75 peratus calon berpotensi, manakala 48.89 peratus adalah baik dalam menjawab soalan KBAT.
“Penguasaan KBAT dilaporkan dengan merujuk kepada keupayaan calon menjawab soalan peperiksaan, yang mengandungi elemen KBAT. Tahap penguasaan minimum KBAT mengambil kira jawapan berkualiti tinggi, sederhana dan rendah,” menurut laporan itu.
KBAT diperkenalkan dalam kertas peperiksaan SPM mulai 2014, yang merupakan soalan yang menguji keupayaan calon mengaplikasi pengetahuan dalam situasi baharu, menganalisis, menilai dan mencipta, untuk memberi jawapan.
Dalam analisis itu, sebanyak 42.26 peratus calon menguasai kemahiran mengaplikasi, 38.68 peratus menguasai kemahiran menganalisis, 52.05 peratus calon menguasai kemahiran menilai, manakala 48.22 peratus calon menguasai kemahiran mencipta.
Bagi tahap penguasaan minimum mengikut kemahiran KBAT, kemahiran mengaplikasi, menilai dan mencipta, mencatatkan peningkatan pada 2020 berbanding 2019, namun kemahiran menganalisis menunjukkan penurunan.
Pada 2020, kemahiran mengaplikasi meningkat kepada 89.63 peratus berbanding 87.22 peratus pada 2019; kemahiran menilai meningkat kepada 90.50 peratus (2020) berbanding 79.98 peratus (2019); dan kemahiran mencipta mencatatkan peningkatan kepada 95.04 peratus (2020) berbanding 89.91 peratus (2019). Kemahiran menganalisis pula, menurun kepada 86.81 peratus pada 2020 berbanding 89.84 peratus pada 2019.
Sementara itu KPM memaklumkan, seramai 381,894 calon menduduki peperiksaan SPM pada 2020 dan daripada jumlah itu, seramai 9,411 calon (2.46 peratus) memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran, berbanding 8,876 orang (2.28 peratus) tahun sebelumnya.
Seramai 78,731 calon (20.62 peratus), memperoleh keputusan sekurang-kuranya kepujian pada 2020, berbanding 77,038 (19.78 peratus) bagi 2019, manakala 146,447 calon (38.35 peratus) sekurang-kurangnya lulus pada 2020, berbanding 147,738 (37.93 peratus) pada 2019.
KPM turut memaklumkan bagi 2020, calon yang layak menerima sijil SPM iaitu sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, meningkat sebanyak 1.96 peratus kepada 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada tahun sebelumnya.
Penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan peperiksaan SPM 2020 ditunda daripada tarikh awal pada 5 Oktober hingga 19 November 2020. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac tahun lepas, peperiksaan ini telah ditunda sebanyak tiga kali.
Kali pertama ditunda ke 16 emberhingga 7 Disember 2020, kemudian ditunda ke 6 Januari hingga 9 Februari 2021, sebelum dimuktamadkan pada 22 Februari hingga 25 Mac 2021. Bagi calon yang disahkan positif Covid-19 atau dikuarantin, calon dibenarkan untuk menduduki peperiksaan pada sesi kedua yang bermula pada 6 hingga 23 April lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!