Ahli perniagaan mengaku tidak salah cabul peserta Unduk Ngadau
KOTA KINABALU - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas lima pertuduhan mencabul kehormatan termasuk empat membabitkan peserta Unduk Ngadau pada April dan bulan lepas.
Philip Among @ Daniel Dell Fidelis, 52, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan terhadap seorang wanita di sebuah rumah penginapan di sini, pada 11 malam, 17 April lepas.
Dia juga didakwa atas empat pertuduhan melakukan kesalahan sama ke atas seorang peserta Unduk Ngadau di beberapa lokasi berbeza di Kota Kinabalu, antara 2 petang dan 10 malam pada 19 Mei.
Kesemua pertuduhan dikemukakan menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.
Majistret Jessica Ombou Kakayun membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 14, 21 dan 22 Julai ini untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali sementara tertuduh diwakili peguam Marcel Jude.
Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik tradisional tahunan yang diadakan bersempena perayaan Pesta Kaamatan yang disambut oleh etnik Kadazandusun serta rakyat di negeri ini pada setiap Mei. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!