Penerima PRE Ihsan Johor 3.0 diwajibkan daftar terima vaksin

Datuk Hasni Mohammad
Datuk Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua penerima inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 diwajibkan untuk membuat pendaftaran program vaksinasi Covid-19 bagi menyokong program vaksinasi di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pendaftaran program vaksinasi Covid-19 itu boleh dilakukan dalam aplikasi MySejahtera atau mana-mana saluran yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, ia menjadi syarat penting sebelum bantuan berjumlah RM126.86 juta itu dapat disalurkan bagi membantu rakyat yang terjejas.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, pakej PRE Ihsan Johor 1.0, PRE Ihsan Johor 2.0 dan PRE Ihsan Johor 3.0 telah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM550.95 juta. Ini bermakna, lebih RM0.5 bilion dibelanjakan kerajaan negeri dan memanfaatkan lebih daripada 1.5 juta penerima.

“PRE Ihsan Johor 3.0 ini merupakan usaha bersama semua kepimpinan negeri dalam memastikan bantuan yang seadil-adilnya. Sejujurnya, tiada kerajaan yang mampu memberikan segalanya-galanya kepada semua dengan sebanyak-banyaknya dalam himpitan waktu yang luar biasa ini.

“Walaupun begitu, kerajaan negeri akan sentiasa mencari jalan sedaya upaya, sekuat dan setekunnya untuk memberikan kepada hampir semua segala bantuan dan rangsangan yang selayaknya dalam sedikit atau banyaknya, sesuai kemampuan kerajaan.

“Kita harapkan bantuan ini bakal memberikan kelegaan kepada rakyat Johor yang memerlukan dan mengeluarkan kita daripada belenggu pandemik ini,” katanya ketika mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 secara maya melalui platform Facebook Live rasminya dan media sosial kerajaan negeri pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, sebuah jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi menyelaras, memantau serta melaporkan status pelaksanaan bantuan yang disalurkan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif di bawah PRE Ihsan Johor 3.0 ini menepati sasaran yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jawatankuasa itu akan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi mendapatkan status kesemua inisiatif PRE Ihsan Johor 3.0 dan seterusnya melaporkannya kepada rakyat.

“Dalam mendepani cabaran baharu pasca-Covid-19, kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa penasihat yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang juga bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya serta Adjunct Professor di Yale University, Amerika Syarikat.

“Jawatankuasa ini akan memperkukuhkan lagi pengurusan dan tindakan kerajaan negeri terhadap pengurusan pandemik menggunakan sains, data dan teknologi.

"Kerajaan negeri mengakui bahawa sains, data dan teknologi merupakan ramuan utama dalam memastikan keberkesanan usaha melawan Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!