Polis rampas 255 mesin bitcoin
TAMPIN- Sebanyak 255 mesin bagi aktiviti melombong mata wang digital bitcoin dengan nilai anggaran RM382,500 dirampas polis dalam tiga serbuan di sekitar daerah Tampin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superitendan Anuwal Ab Wahab berkata, serbuan pada Rabu jam 6 petang hingga 10.15 malam itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas hasil risikan dan maklumat diterima.
"Tiga serbuan dilakukan ke atas tiga buah premis di kawasan Gemas dan Gemencheh yang dipercayai menjalankan aktiviti bitcoin.
"Pemeriksaan mendapati kesemua premis dijadikan lokasi aktiviti bitcoin dan terdapat 255 buah mesin keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dipercayai penjaga premis.
Ujarnya, polis turut mengeluarkan kompaun terhadap lelaki terbabit kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
"Anggaran kerugian yang ditanggung TNB bagi aktiviti tersebut iaitu RM444,366.77.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!