Anak tukang sapu dapat 7A
DUNGUN – Seorang anak tukang sapu berjaya membuktikan belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam serba kekurangan bukan halangan untuk dia memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Walaupun tidak mendapat 9A, namun keputusan 7A sudah begitu membanggakan buat Noor Suriani Azmi, 18, dari Kampung Batu Tiong di sini berikutan cabaran yang terpaksa dihadapinya sepanjang tempoh belajar secara dalam talian.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, antara cabaran yang dihadapi ketika belajar di rumah adalah talian internet perlahan dan selalu kehabisan kuota data internet hingga memaksanya meminjam telefon bimbit milik ibunya.
“Selain itu, belajar di rumah kita kurang faham, saya terpaksa ulangkaji sendiri dan tanya kawan-kawan. Bila terima keputusan pagi tadi, saya terkejut dan tidak sangka dapat 7A kerana saya target lebih rendah daripada itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai itu mendapat 7A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sains, Sejarah, Geografi, Pendidikan Seni Visual dan Perniagaan.
Menurut Noor Suriani, bapanya, Azmi Hamid, 51, yang menderita sakit asma dan ibunya, Rahisufila Ibrahim, 45, bekerja sebagai tukang sapu sentiasa memberi dorongan serta sokongan untuknya meraih kejayaan.
Seorang lagi pelajar, Ezza Yasirah Mohd Rosli, 18, berkata, membaca al-Quran setiap kali selesai solat Maghrib, menghormati guru dan rajin mengulangkaji pelajaran di rumah antara amalan sering dilakukannya sebelum peperiksaan SPM.
Dia yang memperoleh 7A bagi mata pelajaran sama memberitahu, selain rajin tanyakan rakan-rakan, program empower Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) disertainya turut membantu meningkatkan keputusan peperiksaan SPM.
“Tidak dinafikan belajar di rumah banyak cabarannya, namun saya tetap berusaha dengan hubungi kawan-kawan. Guru-guru pun banyak membantu dan syukur alhamdulillah atas kejayaan ini,” katanya yang tinggal di Kampung Tok Kah di sini.
Anak kepada Mohd Rosli Hamid, 53, yang bekerja sebagai buruh dan Firdaus Semail, 48, seorang suri rumah ini berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk merealisasikan impiannya menjadi seorang pendidik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!