'Jika ada kemahuan pasti boleh berjaya'
SEREMBAN - Dugaan penangguhan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan belajar sendiri di rumah sewaktu sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak menghalang seseorang itu untuk berjaya.
Calon SPM 2020, Puteri Ain Umairah Abnor Hamizam, 18 mengakui bangga dan teruja apabila berjaya mendapat keputusan 6A sekali gus membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika ada kemahuan.
"Semasa tempoh pengajian PdPR dan kelas secara dalam talian, saya akui keadaan itu sangat menguji kekuantan mental kerana saya lebih suka belajar secara bersemuka.
"Namun itu tidak menghalang saya untuk terus belajar, walaupun cikgu buat kelas secara online tetapi tanggungjawab sebagai pelajar saya perlu dilaksanakan. Setiap kelas akan saya ikuti tanpa gagal," katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang polis.
Selain itu, katanya, meski pun belajar di rumah namun dia banyak membuat ulangkaji pelajaran secara sendirian berbanding bersama kawan-kawan sebelum ini ketika berada di asrama.
Menurutnya, sejak negara di landa pandemik Covid-19, semuanya berubah termasuklah cara pembelajaran dan pengajaran.
"Alhamdulillah, saya berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan yang diterima, memang pada awalnya kita akan rasa susah sebab perlu belajar dari rumah, tidak dapat berbincang dengan guru di sekolah seperti biasa tetapi itu semua tidak melemahkan semangat kami.
"Berusaha selagi mampu, kalau ada kemahuan kita akan peroleh kejayaan tanpa mengiira di mana jua tempat kita belajar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!