Pulau Pinang harap semua PPV tambahan berjalan lancar

Kon Yeow (tiga dari kanan) ketika meninjau PPV Tapak Pesta Sungai Nibong yang baru dibuka tiga hari lalu.
Kon Yeow (tiga dari kanan) ketika meninjau PPV Tapak Pesta Sungai Nibong yang baru dibuka tiga hari lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri berharap pelan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan yang dilaksanakan akan mencapai 19,210 kapasiti pemberian vaksin harian ke seluruh negeri ini seperti dirancang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya turut berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak lagi menghadapi masalah dengan pembekalan vaksin seperti dinyatakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini.

“Sebahagian PPV telah dibuka, sebahagian lagi akan dibuka dan sebahagian lain dalam perancangan untuk dibuka kelak.

“Apabila semua PPV dibuka seperti dirancang, kita menyeru JKJAV supaya memastikan pembekalan vaksin ke negeri ini tidak lagi tergendala,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPV tambahan di Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin, Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut (DTL), Datin Dr Azizah Abdul Manan dan Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim.

Kon Yeow (kiri) ketika meninjau PPV Tapak Pesta Sungai Nibong yang baru dibuka tiga hari lalu.
Kon Yeow (kiri) ketika meninjau PPV Tapak Pesta Sungai Nibong yang baru dibuka tiga hari lalu.

Kon Yeow berkata, pihaknya turut akan memastikan perancangan untuk membuka PPV ‘tambahan’ khusus untuk barisan hadapan ekonomi (economic frontliners) iaitu mereka yang bekerja dalam sektor industri negeri turut berjalan lancar.

Sementara itu, Dr Azizah berkata, pengoperasian PPV di sini mampu memberi vaksin sehingga 1,700 orang setiap hari.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya, sasaran kita adalah 322,000 hingga 340,000 orang mendapatkan vaksin berdasarkan sasaran imunisasi kelompok bagi daerah Timur Laut (atau menyamai) 80 peratus populasi penduduk di daerah ini.

“Sehingga kini, mereka yang telah menerima vaksin adalah kira-kira 38,000 (sungguhpun) yang mendaftar menerusi MySejahtera direkodkan sekitar 268,000 pemohon,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!