Pastikan harga minyak masak tidak subsidi stabil
PUTRAJAYA - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berikrar meneruskan usaha untuk memastikan harga minyak masak tidak bersubsidi di pasaran dapat distabilkan.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Mohd Khairuddin berkata, perbincangan dengan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan beberapa pemain industri sawit terkemuka negara telah diadakan pada Khamis.
"Fokus utama perbincangan menumpukan kepada syor dan cadangan yang konkrit dapat disepakati untuk memastikan rakyat menikmati harga minyak masak berpatutan selain memperoleh situasi menang-menang antara pemain industri, peruncit dan pengguna," katanya.
Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ravi Muthaya; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab; Pengarah Urusan Kumpulan IOI, Datuk Lee Yeow Chor; Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby, Mohamad Helmy Othman Basha dan wakil Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holding Berhad, Azman Ahmad.
Sebelum ini, rakyat melahirkan keresahan apabila minyak masak yang dijual di dalam botol bersaiz dua, tiga dan lima kilogram melepasi harga RM32 sebotol.
Minyak masak berkenaan tidak mendapat subsidi kerajaan dan harganya ditentukan oleh harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!