Lebih banyak PPV di kawasan pedalaman Sabah
KOTA KINABALU - Usaha untuk meningkatkan pendaftaran dan penerima vaksin Covid-19 di negeri ini sedang giat dilakukan dengan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terutama di kawasan pedalaman.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan ketika ini sedang melakukan yang terbaik dalam usaha memberikan vaksin kepada rakyat Sabah.
"Pendaftaran vaksin agak kurang memuaskan di Sabah setakat ini di mana hanya lebih 500,000 yang mendaftar tetapi kini selain kempen kesedaran dan juga siaran untuk rakyat mendaftar, kerajaan dan pihak kesihatan juga sudah mulai masuk ke kawasan luar bandar untuk memberi vaksin," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.
Beliau turut berharap agar rakyat mengambil peluang itu kerana walaupun tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera namun mereka boleh mendapatkannya di PPV yang disediakan.
"Sekarang ini, dos pertama dan kedua sudah mencapai lebih 200,000 orang penerima.
"Maknanya di Sabah ramai juga orang datang untuk mendapatkan vaksin tetapi kerana keadaan Sabah yang luas dan rakyat kita ada masalah untuk datang ke PPV ini ia mungkin kelihatan perlahan sedikit.
"Tetapi sekarang kita datang ke kampung-kampung dan membuka lebih banyak PPV di klinik-klinik desa dan kita berharap menjelang akhir tahun atau awal tahun depan, kebanyakan rakyat kita akan menerima vaksin," katanya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa bekalan vaksin untuk Sabah cukup bagi membolehkan kerajaan melaksanakan kempen pemberian vaksin ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!