111 pintu masuk negara dikawal selia kekang kemasukan warga asing
SEPANG - Terdapat 111 pintu masuk negara yang aktif dan diwartakan di seluruh negara bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin selain memutuskan rantaian wabak Covid-19, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, jumlah itu terdiri daripada 54 pintu masuk laut, 29 pintu masuk udara dan 28 pintu masuk darat.
“Apa yang mustahak sejak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas (di pintu masuk ini) ialah menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ke dalam negara.
"(Mereka) boleh masuk tetapi perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kita nak periksa sebaiknya bagi memastikan apa sahaja kebenaran yang kita beri itu sah diperoleh oleh mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan mesra di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.
Hamzah berkata, warga asing yang melalui pintu masuk ini akan menjalani proses saringan Covid-19, mengimbas kod QR MySejahtera dan dibawa oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menjalani proses kuarantin.
Beliau berkata, ini berbeza dengan pendatang tanpa izin yang cuba memasuki negara ini melalui lorong tikus yang ada kerana mereka akan dihalau dan dihalang daripada memasuki Malaysia.
"(Mereka) yang cuba masuk melalui lorong-lorong tikus ini kita halau mereka. Ini terbukti dengan (kejayaan) Ops Benteng dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (dan lain-lain agensi terlibat sekali gus menyekat penularan wabak)," katanya.
Hamzah juga berkata, terdapat kelemahan yang dikenal pasti ketika beliau melakukan pemantauan di KLIA, antaranya kemungkinan berlaku penipuan My Travel Pass.
"Masa atas pesawat, dia tunjuk bahawasanya dia ada My Travel Pass dan mempunyai kelulusan tetapi apabila sampai dan kita periksa, rupanya tiada.
"Kelemahan itu kita nak sekat (dengan menggunakan kod QR) untuk dipastikan sebelum dia naik kapal terbang," katanya.
Selain itu, beliau berkata, satu lorong khas perlu diadakan bagi penumpang dari luar negara untuk terus ke pintu masuk untuk pemeriksaan imigresen.
"Ini bagi memastikan mereka yang turun daripada kapal terbang tidak bertembung dengan sesiapa pun di tempat-tempat tertentu (bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19). Ini semua kita akan cuba berikan penambahbaikan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!