Solat, doa kunci kejayaan cemerlang dalam SPM
KUALA LUMPUR - Sentiasa berdoa dan menjaga amalan fardu ain menjadi kunci kejayaan kepada Iman Haziq Ahmad Zamani,17 apabila meraih keputusan cemerlang 10 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Pelajar aliran sains Kolej Yayasan Saad, Melaka itu mengakui dia seakan tidak percaya di atas keputusan tersebut namun bersyukur apabila usahanya membuahkan hasil.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia mengamalkan bacaan Yasin dan solat hajat setiap minggu selain melakukan persiapan rapi dalam mengulang kaji pelajaran.
“Selepas solat, saya akan berdoa supaya diberi kekuatan untuk mengharungi cabaran hidup dan membuang sifat malas dalam diri agar saya terus bermotivasi untuk mengulangkaji pelajaran.
“Malah saya juga elak untuk belajar pada saat akhir dan sentiasa membuat persiapan awal walaupun secara sikit-sikit. Selain itu guru-guru di sekolah juga telah sediakan latihan untuk kami siapkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pelajar berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, dia berhasrat untuk memohon biasiswa bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan selari dengan cita-citanya untuk menjadi jurutera.
Sementara itu, pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan Laki-laki Bukit Bintang, Uwais Ilahi Haja Badurudeen, 17 mengakui dia meletakkan sasaran A dalam semua mata pelajaran dan bersyukur apabila memperoleh keputusan 8A.
“Saya dah tetapkan sasaran untuk dapat ‘straight’ A kerana saya percaya untuk berjaya kita perlu tetapkan sasaran dan berusaha keras untuk mencapainya.
“Solat hajat dua rakaat setiap hari dan yang paling penting sentiasa menjaga amalan wajib terutama solat lima waktu bagi saya merupakan kunci utama untuk kita berjaya di dalam hidup,” katanya.
Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer dan berharap dapat membantu meringankan beban ibu bapanya kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!