Pasangan kembar anak tukang cat cemerlang SPM
ALOR SETAR - Kegigihan bapa mencari rezeki sebagai tukang cat menjadi pembakar semangat kepada pasangan kembar tidak seiras di sini untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Aliff Alimi Azman, 18, berkata, kejayaan memperoleh keputusan 9A didedikasikan kepada bapanya, Azman Che Ani, 54, yang tidak putus-putus memberikan semangat kepada dia dan kakak kembarnya, Aliya Nur Liyana Azman, 18, untuk belajar dalam suasana pandemik Covid-19.
Aliff Alimi berkata, dia dua beradik juga bernasib baik kerana tidak putus-putus mendapat sokongan daripada ibu mereka, Norzan Ariffin, 57, untuk belajar secara dalam talian di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan PKP 2.0 bermula awal tahun lalu.
"Saya bersyukur kerana berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM walaupun berdepan pelbagai cabaran terutama semasa persiapan bagi menghadapi peperiksaan awam ini.
"Kejayaan ini adalah untuk kedua-dua ibu bapa saya kerana mereka sentiasa berada di belakang baik di waktu sukar mahupun senang," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kepala Batas di sini pada Khamis.
Pelajar Sekolah Menengah (SM) Sultan Abdul Halim di Jitra itu juga bercita-cita untuk menjadi pensyarah selepas ini.
Sementara itu, Aliff Alimi berkata, sokongan sesama pelajar seperti pembentukan kumpulan menerusi program Kawan Bantu Kawan (KBK), bacaan surah Yasin di sekolah dan melakukan solat hajat sedikit sebanyak membantunya tenang ketika menduduki peperiksaan tersebut.
Bagi Aliya Nur Liyana, 18, pula, walaupun meraih keputusan tidak sehebat adiknya, ia bukan penamat buat dirinya yang bercita-cita untuk menjadi seorang wartawan yang dikenali ramai satu hari nanti.
Dia yang belajar di sekolah sama dengan adiknya itu meraih keputusan 2A, 3B dan 4C.
"Selepas ini, saya akan berusaha untuk membaiki pencapaian akademik sama ada menerusi peperiksaan awam atau di peringkat institusi pengajian tinggi," kata Aliya Nur Liyana.
Dalam pada itu, Azman berkata, dia bangga dengan anak kelima dan keenamnya itu yang telah berusaha bersungguh-sungguh mendapat keputusan terbaik dalam akademik.
"Walaupun pencapaian SPM adik adalah lebih baik daripada kakaknya, namun saya tetap bangga dengan kedua-duanya. Mereka bersusah payah belajar dalam suasana pandemik Covid-19 yang tidak menentu ini.
“Bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu mereka tempuhi selepas ini. Ini baru permulaan," katanya.
Azman turut mengucapkan penghargaan kepada semua guru-guru dan pihak lain yang membantu kejayaan anaknya itu.
“Macam saya seorang tukang cat dan isteri sebagai suri rumah, memang tidak dapat membantu mereka ketika mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!