Perak FC II puas hati pertaruh ramai bakat muda

Perak FC II guna khidmat 100 peratus pemain tempatan bagi saingan Liga-M musim ini. Gambar kecil: Syamsul
Perak FC II guna khidmat 100 peratus pemain tempatan bagi saingan Liga-M musim ini. Gambar kecil: Syamsul
A
A
A

PERAK FC II masih berpuas hati dengan pencapaian mereka setakat ini kerana menggunakan 100 peratus pemain tempatan selain tidak bergantung kepada pemain import dalam kebanyakan perlawanan yang dilalui biarpun sekadar meraih tangga kedua tercorot di Liga Premier.

Ketua Jurulatih Perak II, Syamsul Saad berkata, pungutan sembilan mata itu tetap dilihat sebagai satu pencapaian baik kerana mereka antara pasukan di dalam saingan Liga Premier selain Skuad Projek FAM-MSN yang mempertaruhkan ramai bakat muda.

Sebagai pasukan yang berstatus reserve team, beliau menjelaskan tugas utama adalah untuk membantu kelab utama iaitu Perak FC di Liga Super dengan membekalkan seberapa pemain berpotensi yang diperlukan.

“Rumusan bagi pusingan pertama Liga Premier, saya rasa pencapaian kami tetap baik berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain dalam tiap perlawanan.

“Kita antara pasukan yang tidak menggunakan pemain import selepas Sergio Aguero lebih banyak membantu pasukan utama dan sebahagian besar pemain yang digunakan di Perak II terdiri daripada pemain-pemain Piala Presiden.

“Kalau boleh memang kita tidak mahu berada dalam kalangan dua pasukan terakhir di liga tetapi apa-apapun objektif utama kita untuk memastikan pasukan utama Perak juga berada di tahap terbaik di Liga Super.

“Buat masa ini ramai pemain dari Perak II dipanggil ke skuad utama dengan Izzuddin Roslan telah pun menjadi antara pemain tetap di sana selain Aguero.

“Beberapa pemain lain juga saya lihat berpotensi untuk terus membantu Perak seperti Aizat Safuan, Syahir Bashah dan Amier Ali, sudah tentu saya gembira melihat ada perkembangan dalam karier masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perak FC pada masa ini sudah diperkuatkan empat pemain import sedia ada seperti Nana Poku, Careca, Leandro dos Santos dan Sergio Aguero.

Namun ada perancangan untuk membawa masuk pemain import baharu dan itu membuatkan Syamsul sedikit gembira kerana mungkin dapat menggunakan sebahagian pemain import berkenaan untuk membantu Perak II.

“Jika berdasarkan perancangan jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt, dia kemungkinan mahu menguji pemain-pemain import dalam beberapa perlawanan Liga Premier yang akan berlangsung sebelum aksi Liga Super, 24 Julai nanti bagi melihat siapa yang lebih layak berada dalam pasukan utama.

“Situasi itu akan menambahkan lagi kualiti pasukan selain membantu pemain-pemain muda dan saya harap kita boleh meraih beberapa kemenangan bagi meletakkan kami ke kedudukan yang lebih baik.

“Kerjasama kami dengan pasukan utama buat masa ini berada di tahap terbaik dan saya gembira kerana kami sering dapat membantu antara satu sama lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!