Salah faham jadi punca lelaki berkopiah ditampar

Klip video yang tular memaparkan seorang lelaki berkopiah ditampar seorang lelaki yang lebih dewasa
Klip video yang tular memaparkan seorang lelaki berkopiah ditampar seorang lelaki yang lebih dewasa
A
A
A

GOMBAK - Kejadian melibatkan seorang lelaki OKU ditampar oleh seorang ahli jawatankuasa (AJK) sebuah masjid dekat Desa Jaya Kepong, yang videonya tular di media sosial, adalah akibat salah faham kerana menyangka mangsa mahu mencuri wang dari tabung masjid.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian itu berlaku pada 8.30 malam 10 Februari lalu, di mana mangsa yang berusia 18 tahun sebenarnya diarahkan individu lain yang juga seorang AJK masjid sama untuk mengambil wang berkenaan untuk dikira.

Namun katanya, suspek menyangka mangsa mengeluarkan wang tabung masjid tanpa kebenaran menyebabkan suspek bertindak secara terburu-buru dan mengambil tindakan sendiri (menampar mangsa) tanpa menyiasat terlebih dahulu.

“Sebaliknya mangsa sebenarnya diarahkan oleh seorang AJK untuk mengeluarkan wang derma untuk dikira.

“Mangsa dibawa ke Hospital Selayang oleh pegawai penyiasat (IO) kes untuk rawatan dan menurut doktor yang merawat mangsa, dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 38 tahun membuat laporan polis pada 14 Februari mendakwa adiknya seorang lelaki yang mempunyai masalah lembam ditampar sebanyak tiga kali oleh AJK masjid berkenaan.

“Abangnya hanya mengetahui perkara itu pada 12 Februari ketika berada di rumah dan kejadian dipercayai berlaku di masjid terbabit.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, video berdurasi 28 saat yang tular itu memaparkan seorang lelaki berkopiah ditampar berkali-kali oleh lelaki yang lebih dewasa daripadanya.

Sekurang-kurangnya tiga individu lain dilihat berada berhampiran suspek dan mangsa dipercayai turut menyaksikan kejadian itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!