Pelarian Rohingya sudah jadi kaduk yang naik junjung!
MERAK Jalanan percaya majoriti rakyat Malaysia sudah muak dengan perangai pelarian Rohingya yang menumpang teduh di negara ini.
Bukan mahu bersikap xenofobia, tetapi inilah realitinya apabila pelarian Rohingya bersikap kurang ajar, tiada kesedaran sivik dan sebahagian besarnya pula gagal berasimilasi dengan budaya dan cara hidup tempatan.
Malah, bagaikan tidak bersyukur apabila sudah diberi peluang tinggal di negara ini, ada pula dalam kalangan mereka melakukan aktiviti jenayah.
Apa yang lebih membimbangkan ialah bilangan mereka semakin tidak terkawal dan menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), jumlah pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini akan mencecah angka jutaan orang dalam tempoh kurang 10 tahun.
Merak Jalanan juga terkejut apabila mendapat tahu jumlah pelarian Rohingya yang memegang kad UNHCR di negara ini berjumlah 86,155, hampir menyamai penduduk Putrajaya.
Keadaan ini sudah tentu menimbulkan pelbagai isu sosial selain mencetuskan saingan peluang pekerjaan kepada warga tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Situasi berkenaan nampaknya tidak adil untuk Malaysia kerana akhirnya negara ini terpaksa menangung masalah yang dibawa oleh orang luar.
Pelarian Rohingya dilihat semakin besar kepala kerana mendapat sokongan UNHCR yang mahu memastikan mereka ditempatkan di Malaysia sebagai negara ketiga.
Mereka juga sudah mula menuntut hak kerakyatan dan hak pendidikan dengan alasan etnik Rohingya telah banyak menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan di Malaysia.
Walhal mereka yang diberikan kad pelarian UNHCR hanya dibenarkan berada di Malaysia untuk sementara waktu sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!