Maritim pantau ketat perairan Langkawi
LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) meningkatkan pemantauan di perairan Pulau Langkawi yang menjadi salah satu lokasi tumpuan pendaratan sindiket untuk menyeludup masuk pelarian Rohingya melalui jalan laut ke negara ini.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, faktor geografi perairan Kedah dan Perlis menjadi salah satu cabaran utama kepada Maritim untuk membendung kebolosan kapal atau bot yang membawa enik Rohingya mendarat di Malaysia.
“Keluasan perairan Maritim negeri Kedah dan Perlis berukuran 8,504.7 batu nautika kaki persegi. Keluasan lautan ini begitu luas dan sempadan perairan negara bahagian utara Pulau Langkawi hanya berjarak 2.1 batu nautika dengan sempadan perairan negara Thailand.
“Merujuk kepada kejadian pendaratan etnik Rohingya yang telah berlaku, bahagian utara dan barat Pulau Langkawi sering menjadi kawasan tumpuan.
“Kebiasaannya pendaratan kapal atau bot yang membawa etnik Rohingya ini berlaku pada malam atau awal pagi kerana pada waktu tersebut kawasan persekitarannya adalah gelap dan tiada orang ramai,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian bagi menjawab persoalan bagaimana etnik tersebut memasuki negara ini melalui perairan Langkawi.
Mohd Zawawi mengakui, isu etnik Rohingya sememangnya agak panas di Langkawi apatah lagi dikaitkan dengan penempatan di Bukit Malut apabila ada dalam kalangan pelarian Rohingya didakwa menyelinap dalam komuniti di sana.
Dalam pada itu, menjelaskan lanjut mengenai polisi negara berkaitan pelarian Rohingya, katanya, ketika musim pandemik ini Malaysia memang tidak menerima masuk kehadiran pelarian melalui pintu masuk darat dan laut.
“Sekiranya ada cubaan etnik Rohingya untuk memasuki Malaysia melalui laut, kami akan menghalang dan mengusir kapal atau bot pelarian keluar dari perairan Malaysia.
“Namun, kami tetap memberi bantuan sewajarnya seperti memberi bekalan makanan dan minuman, jika kapal atau bot yang membawa etnik Rohingya berada dalam keadaan kecemasan dan bahaya. Ia selaras dengan Konvesyen Antarabangsa 1979 Pencarian dan Penyelamat Maritim.
“Namun, pelarian yang diselamatkan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi proses pengusiran,” katanya.
Bocor botBagaimanapun, jelas Mohd Zawawi, terdapat pelbagai modus operandi digunakan untuk menyeludup masuk pelarian Rohingya yang dianggap sebagai Pendatang Tanpa Izin (PATI) itu.
Antaranya pelarian akan dipindahkan dari ‘mothership’ iaitu bot besar ke bot-bot kecil di perairan antarabangsa untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Analisis bersama agensi penguat kuasa tempatan merumuskan bahawa setiap warga Rohingya yang dibawa ini telah diatur oleh sindiket dengan menggunakan tekong darat, setiap di antara mereka telah diajar untuk membocorkan bot.
“Situasi itu dilakukan bagi menarik perhatian penguat kuasa tempatan untuk menghulurkan bantuan dan seterusnya masuk ke negara ini atas dasar mendapatkan perlindungan.
“Kecemasan yang direka ini bukanlah sesuatu yang baru dalam isu penyeludupan etnik Rohingya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rohingya habiskan RM10,000 untuk masuk Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan keliru status penduduk Bukit MalutMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!