Tok Gajah manfaat masa rehat bentuk persefahaman pemain
GERGASI Liga Super, Sri Pahang FC menggunakan tempoh masa berehat saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk memupuk keserasian dan persefahaman dalam kalangan pemain termasuk empat pemain import baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kesempatan itu memberi ruang kepada empat import baharu iaitu Aung Kaung Mann, Kenny Athiu, Abubakar Yakubu dan Manuel Hidalgo untuk lebih memahami corak permainan pasukan selain membentuk persefahaman yang baik bersama pemain.
“Saya boleh katakan keserasian mereka pada awal-awal beraksi belum ada tetapi Alhamdulillah dengan kebenaran yang diberi oleh kerajaan untuk kita adakan camp based ini, pastinya hasil yang cukup baik akan dapat dilihat,” katanya menerusi kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Khamis.
Kehadiran empat pemain import itu berjaya membantu Sri Pahang FC keluar daripada zon penyingkiran dengan kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan kutipan 12 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.
Sementara itu, katanya kesemua pemain dan pegawai Tok Gajah itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 minggu lepas dan dijangka akan melengkapkan dos kedua pada 25 Jun ini.
“Saya ucap terima kasih kepada pihak kerajaan Pahang dalam membantu usaha mendapatkan peruntukan vaksin. Begitu juga pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MFL yang sentiasa mendokong usaha untuk memastikan pemain mendapatkan vaksin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!