14 penduduk Palestin ditangkap rejim Zionis
BAITULMAQDIS - Seramai 14 penduduk Palestin ditangkap pada Khamis di Baitulmaqdis selepas berlaku pergelutan antara anggota polis Israel dan penduduk Palestin, kata polis.
Pergelutan itu berlaku di luar Pintu Damsyik, Kota Lama Baitulmaqdis iaitu lokasi pertempuran antara polis rejim Zionis dengan penduduk Palestin yang berlaku pada bulan lalu.
Ketika kejadian, polis Israel sedang menyuraikan ratusan penunjuk perasaan di Pintu Damsyik itu.
Kejadian itu juga berlaku selepas sidang akhbar diadakan oleh seorang wakil rakyat Israel, Itamar Ben-Gvir di luar Pintu Damsyik.
Dalam sidang akhbar itu beliau berkata: "Membuat keputusan untuk tidak membenarkan seorang wakil rakyat Israel bercakap secara bebas di Kota Lama Baitulmaqdis telah menawarkan satu kemenangan kepada Hamas."
Ucapan Ben-Gvir itu dibuat selepas berlaku pertempuran selama 11 hari antara para pejuang Palestin dengan tentera Israel yang kemudian berakhir dengan satu gencatan senjata pada bulan lalu.
Pertempuran itu berlaku selepas penduduk Palestin berasa marah dengan tindakan para peneroka haram Yahudi yang berusaha merampas rumah-rumah mereka.
Ia juga berlaku selepas anggota-anggota polis rejim Zionis menyerbu pekarangan Majis al-Aqsa bagi menyuaraikan tunjuk perasaan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!