Komplot guling PM: Kalau tiada angin, tidak bergoyang pokok!
MARANG - "Kalau tiada angin, tidak bergoyang pokok, sebab itu kita beri sokongan," tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui selepas berakhir kuliah di Masjid Rusila, di sini, pagi ini.
Beliau berkata demikian mengulangi dakwaan Pas wujud dua parti komponen PH merancang untuk menyingkirkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya mempunyai maklumat dan sebab itu Pas akan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri demi kepimpinan orang Islam walaupun sebagai pembangkang.
"Ya, kita ada maklumat sebab itu kita beri sokongan. Banyak benda yang dinafikan itu benda sungguh, acap kali dah (berlaku).
"Kita tetap akan sokong...Sokong walaupun dalam keadaan jadi pembangkang. Ini kepentingan kepimpinan orang Islam," katanya.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir berkata, sokongan Pas terhadap kepimpinan beliau hanya dapat disahkan jika mereka mengundinya apabila undi tidak percaya itu benar-benar berlaku.
“Saya tunggu kalau benar Pas akan menyokong saya atau tidak apabila berlaku undi tidak percaya itu,” katanya kepada media selepas lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di sini, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN Undi tak percaya: Tun M nak tengok Pas sokong atau tak
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sekiranya Bersatu kalah di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih ia bukan disebabkan Pas tetapi berpunca daripada tiada kerjasama daripada PKR dan DAP.
"Itu 'point' tu. Jangan kata sebab kita (Pas) tapi sebab mereka (PKR dan DAP) tidak bekerja. Kita dah nampak DAP dan PKR tidak turun," katanya yang masih tidak pasti akan ke Semenyih atau tidak.
Pada 17 Februari lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa terdapat dua parti dalam PH mungkin merancang untuk membelot terhadap Dr Mahathir.
Takiyuddin yang menjawab kontroversi pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri menjelaskan, persetujuan bertulis parti itu sebenarnya draf ikrar menyokong Dr Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya.
Bagaimanapun, dakwaan Pas itu dinafikan pemimpin-pemimpin PH antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Mohamad yang juga Presiden Amanah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!