Stor logistik IPD Sentul terbakar
KUALA LUMPUR - Sebuah stor logistik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, dekat Jalan Ipoh, di sini, terbakar dalam kejadian pada Khamis.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.57 malam.
"Seramai 15 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul serta BBP Titiwangsa bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.14 tengah malam dan padam sepenuhnya jam 12.33 tengah malam," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Kenyataan itu turut menyebut, kebakaran mengakibatkan dua motosikal dan sebuah bot fiber musnah.
"Kejadian bagaimanapun tidak membabitkan mangsa manakala kemusnahan dianggarkan pada tahap 70 peratus. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!