Kondominium jadi stor simpan dadah RM1.78 juta diserbu
JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya membongkar stor penyimpanan dadah dengan penangkapan empat suspek dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.78 juta dalam satu operasi khas selama dua hari di sekitar bandar raya ini bermula Rabu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 21 hingga 35 tahun itu adalah 'runner' (penghantar) dan penjaga stor berkenaan ditahan dalam tiga serbuan berasingan.
Menurutnya, sindiket itu menggunakan kondominium yang berpagar dan berpengawal untuk dijadikan stor penyimpanan dadah untuk pasaran tempatan dan telah beroperasi sejak April tahun lalu.
"Operasi khas ini dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan dan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
"Serbuan pertama dilakukan pada Rabu, jam 3.30 petang di sebuah residen di bandar raya ini dan kita telah menahan pasangan kekasih berusia 21 dan 24 tahun bersama sejumlah rampasan dadah jenis Heroin.
"Hasil saringan urin mendapati seorang suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) manakala hasil semakan rekod mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah," katanya ketika sidang akhbar yang diadakan di IPK Johor pada Jumaat.
Susulan daripada operasi tersebut, pihak polis telah membuat dua lagi serbuan di unit berlainan di residen yang sama dan di Perling pada Rabu dan Khamis.
Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun bersama sejumlah rampasan dadah jenis heroin dan syabu.
"Hasil saringan urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis THC manakala semakan mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.
Jelas Ayob, dengan penangkapan sindiket pengedaran dadah itu, polis telah berjaya membuat rampasan 34.66 kilogram syabu bernilai RM1.25 juta dan 47.54 kilogram heroin bernilai RM558,663.70, dengan nilai rampasan keseluruhan dadah berjumlah RM1.78 juta.
Pihak polis juga menyita dua kereta bernilai RM40,000, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan barang sitaan adalah RM1.8 juta.
"Kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula 10 hingga 15 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan," katanya.
Tambahnya, bermula 1 Januari hingga 9 Jun, JSJ Narkotik Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 5,995 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama telah berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 6.75 tan.
Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM344.8 juta dan polis turut menyita harta bernilai RM23.7 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!