'Air Sungai Pahang seperti minyak hitam'
TEMERLOH - Keadaan air Sungai Pahang berubah warna hitam serta berbau busuk pada Rabu menyebabkan ribuan ikan yang diternak dalam sangkar di sungai terbabit mati.
Perubahan warna air sungai itu dipercayai berpunca daripada sisa pembuangan sebuah kilang yang dibuang menerusi saluran paip di daerah ini.
Pengusaha ikan sangkar, Mohd Zahir Ibrahim, 37, dari Kampung Pengkalan Manggis di sini berkata, dia terkejut apabila melihat air Sungai Pahang seperti minyak hitam dan ikan-ikan ternakannya mula mati pada petang Rabu.
"Warna air dah bertukar seperti minyak hitam. Baunya juga busuk seperti air kumbahan selain terdapat sisa buangan dan habuk yang melekat pada ikan.
"Saya dapati, ribuan ikan termasuklah anak-anak ikan patin yang baru berusia seminggu mati, begitu juga dengan ikan tilapia yang sudah matang," luahnya pada Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Zahir berkata, kejadian sama pernah berlaku dua tahun lalu hingga menyebabkannya mengalami kerugian kira-kira RM300,000.
Dia agak terkilan kerana kejadian sama berulang ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pendapatan ramai penternak terjejas.
"Jumlah kerugian masih belum dapat ditaksir. Hingga hari ini masih ada lagi ikan yang mati walaupun warna air sungai kembali pulih pada Khamis," katanya yang mempunyai 48 sangkar ikan yang diusahakan sejak tahun 2000.
Menurutnya, aduan telah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sampel air telah diambil oleh pihak jabatan terbabit pada Khamis.
"Saya berharap JAS bertegas dengan mengambil tindakan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya masalah ini tidak berulang," ujarnya.
Sementara itu, aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad berkata, isu pencemaran Sungai Pahang berpunca daripada kilang bukan perkara baharu, malah sudah beberapa kali pengusaha sangkar terkesan dengan insiden tersebut.
“Persoalannya mengapakah pihak terbabit dibenarkan membuang sisa kumbahan kilang ke Sungai Pahang yang menjadi sumber air mentah utama kepada penduduk? Bahkan, saya dapati di sepanjang Sungai Pahang begitu banyak loji rawatan air dibina.
“JAS disarankan supaya menempatkan lebih banyak stesen pemantauan kualiti air di Sungai Pahang bagi membolehkan kualiti air sungai ini dapat dipantau secara berkala," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!