Permohonan Puad ketepi perintah injunksi interim Muhyiddin didengar 26 Julai

Muhyiddin (kiri) dan Puad (kanan).
Muhyiddin (kiri) dan Puad (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi untuk mengetepikan perintah injunksi interim diperoleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu daripada menerbitkan semula kenyataan yang didakwa memfitnah berhubung perintah kuarantin melibatkan perdana menteri di laman Facebooknya (Mohd Puad), didengar 26 Julai ini.

Semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril turut menetapkan hari sama untuk mendengar permohonan Muhyiddin bagi perintah injunksi inter-parte (antara pihak) yang diperoleh perdana menteri itu secara ex-parte (sebelah pihak) pada 1 Mac lepas bagi menghalang Mohd Puad daripada membuat sebarang kenyataan sementara menunggu pendengaran inter-parte.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin ketika dihubungi pemberita berkata pendengaran kedua-dua permohonan itu sepatutnya berlangsung hari ini secara fizikal, namun ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun ini.

"Sehubungan itu, mahkamah melanjutkan injunksi ad interim yang diperoleh plaintif (Muhyiddin) sebelum ini sementara menunggu perbicaraan injunksi inter-parte dan permohonan defendan (Mohd Puad) untuk pembatalan injunksi tersebut pada 26 Julai dengan terma yang sama dengan perintah injunksi interim ex-parte," katanya.

Peguam Shahrul Fazli Kamaruzaman yang mewakili Mohd Puad ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.

Injunksi ad interim berfungsi untuk melindungi sementara plaintif yang memfail tuntutan dengan mengekalkan status quo.

Dalam permohonan ex-parte yang difailkan bersama writ saman, Muhyiddin memohon injunksi interim bagi menghalang Mohd Puad, atau ejennya, wakilnya atau sesiapa jua daripada menerbitkan semula, menyiarkan semula dan berkongsi semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara di laman Facebook milik Mohd Puad.

Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan hantaran yang dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan telah menyebabkan reputasi serta nama baik perdana menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam writ saman yang difailkan atas kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada pada 9 Feb lepas, Mohd Puad menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama "DrPuad Zarkashi" bertajuk 'Kuarantin pun ada dua darjat?'.

ARTIKEL BERKAITAN: PM peroleh perintah mahkamah halang Puad terbit kenyataan fitnah

Muhyiddin mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima lebih daripada 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Muhyiddin turut mendakwa hantaran itu merujuk kepada "PM" iaitu singkatan kepada perdana menteri selain mendakwa hantaran itu mengandungi penyataan yang jelas sekali tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta telah memfitnahnya.

Muhyiddin mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif dan rombongan enggan dikuarantin selama 10 hari setelah mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia sedangkan mereka semua sedang menjalani kuarantin pada masa tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!