Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat
KUALA LUMPUR - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 50.1 peratus tahun ke tahun pada April 2021, didorong oleh prestasi yang kukuh dalam indeks pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan dalam kesemua indeks; indeks pembuatan (68.0 peratus), indeks elektrik (22.9 peratus) dan indeks perlombongan (14.3 peratus).
“Peningkatan pertumbuhan pada April 2021 juga merupakan kesan pemulihan akibat kesan asas daripada pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lepas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pengeluaran sektor pembuatan meningkat 68.0 peratus tahun ke tahun pada April 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 12.7 peratus pada Mac 2021.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada April 2021 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (275.2 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (141.0 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (70.1 peratus), katanya.
Mohd Uzir berkata industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 52.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 110.9 peratus.
“Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutamanya dalam subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
“Selain itu, prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP beberapa rakan dagang utama Malaysia,” katanya.
Beliau berkata pengeluaran sektor perlombongan mencatatkan pertumbuhan yang positif pada April 2021 buat kali pertama sejak Februari 2020 dengan mencatatkan 14.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Katanya kenaikan tersebut disebabkan peningkatan dalam indeks gas asli (23.9 peratus) serta indeks minyak mentah dan kondensat (2.7 peratus).
Beliau berkata pengeluaran sektor elektrik meningkat 22.9 peratus pada April 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!