Sindiket didalangi warga Nigeria jerat mangsa kesunyian tumpas

Mohd Kamarudin dalam sidang akhbar secara maya pada Jumaat.
Mohd Kamarudin dalam sidang akhbar secara maya pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan Parcel Scam dan Love Scam yang didalangi warga Nigeria dengan mensasarkan warga tempatan sebagai mangsa sejak lima tahun lalu tumpas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Khamis.

Operasi bermula jam 8 pagi hingga 4 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu memberkas lima lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia antara 27 hingga 43 tahun.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, enam serbuan di sekitar Cheras dan Serdang, Selangor itu telah merampas sebuah kereta jenis Nissan selain beberapa barangan termasuk empat komputer riba, 16 telefon bimbit, 15 kad mesin juruwang automatik (ATM), 20 kad sim dan tiga pasport serta wang tunai RM2,823.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek warga Nigeria terbabit memasuki Malaysia dengan menggunakan pas pelajar.

"Selepas tamat tempoh pas pelajar tersebut, mereka tidak pulang ke negara asal dan terus tinggal di negara ini secara tidak sah dengan menjalankan aktiviti penipuan Love Scam serta Parcel Scam yang menyasarkan mangsa dalam negara mahupun dari luar negara.

"Sindiket ini dipercayai beroperasi secara berasingan dalam dua kumpulan yang berbeza di mana satu kumpulan berperanan mencipta akaun palsu di media sosial seperti Facebook, Instagram, Tinder, Dating Apps dan lain-lain platform.

"Sindiket yang menggunakan akaun palsu ini akan mula mencari kenalan dan berkomunikasi dengan mangsa sehingga terpedaya dengan memberikan wang atas dasar belas kasihan dan cinta," katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, satu lagi kumpulan pula berperanan sebagai ejen pencari keldai akaun bagi menerima wang hasil penipuan mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini seorang wanita berusia 44 tahun telah menjadi mangsa dengan kerugian RM2.7 juta, namun siasatan masih dijalankan untuk mengesan jumlah kes membabitkan sindiket ini.

"Polis percaya sindiket scam ini mensasarkan mangsa yang masih bujang atau telah berpisah dengan pasangan masing-masing dengan menggunakan kesempatan terhadap mangsa yang merasa kesunyian.

"Suspek kemudian akan bersekongkol dengan warga tempatan untuk menyamar sebagai pegawai kastam ataupun staf syarikat kurier bagi meyakinkan mangsa dalam proses pembayaran dan penerimaan parcel yang akan dihantar sebagai hadiah," katanya.

Jelasnya, mangsa mula menyedari bahawa dirinya telah ditipu apabila sindiket mula menyekat dan menghentikan sebarang komunikasi dengan mangsa setelah sejumlah bayaran dibuat ke dalam ‘akaun keldai’.

"Siasatan masih dijalankan termasuklah kita telah merekod keterangan seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang sedang hamil disyaki keldai akaun yang terlibat dalam kes ini," katanya.

Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!