Dua jam selamatkan kerbau 200kg jatuh lubang najis
KUALA LIPIS - Seekor kerbau jantan seberat kira-kira 200 kilogram terperangkap di dalam sebuah lubang tangki najis sebelum berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dalam kejadian di Kampung Bapong di sini pada Jumaat.
Kerbau itu dipercayai terjerlus ke dalam lubang berkenaan selepas penutup tangki najis itu pecah akibat tidak mampu menampung berat badannya.
Ketua Zon 3, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai enam anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.02 pagi.
Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan haiwan terbabit.
"Pihak bomba berdepan kesukaran menggunakan tali kerana saiz haiwan itu selain ruangan yang sempit.
"Kita terpaksa menggunakan jengkaut untuk menggali tanah dan memecahkan tangki najis berkenaan untuk mengeluarkan kerbau tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Katanya, kejadian itu hanya disedari pada pagi Jumaat oleh tuan rumah yang terdengar bunyi kerbau di dalam lubang terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!