Cubaan curi kayu balak RM207,000 gagal

Sebahagian 20 balak pelbagai spesies yang cuba dipindah tanpa lesen kini disita di Hutan Simpan Berkelah. Gambar kecil, Mohd Hizamri.
Sebahagian 20 balak pelbagai spesies yang cuba dipindah tanpa lesen kini disita di Hutan Simpan Berkelah. Gambar kecil, Mohd Hizamri.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya menumpaskan cubaan memindahkan balak pelbagai spesies secara haram bernilai RM207,000 di Hutan Simpan Berkelah, Temerloh.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, intipan telah dilakukan oleh pegawai JPNP hasil selama dua minggu dan mendapati terdapat aktiviti penebangan pokok di kawasan di Kompartmen 126 Hutan Simpan Berkelah.

"Sebanyak 20 tunggul pokok membabitkan spesies balau, Meranti Rambai Daun, Kempas dan Keruing ditemui dan ditempatkan di beberapa kawasan sebelum dipindahkan.

“Kita sifatkan ini perbuatan terancang kerana anggota sindiket dilihat mempunyai kepakaran melakukan kegiatan menebang dan memindahkan balak secara haram.

“Mereka ini bergerak dalam satu kumpulan dengan menggunakan jentera lengkap bagi memudahkan setiap aktiviti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa anggota sindiket itu menggunakan khidmat pemberi maklumat atau tonto yang berada di beberapa lokasi.

Jentolak yang digunakan untuk memindahkan balak tanpa lesen disita di Hutan Simpan Berkelah.
Jentolak yang digunakan untuk memindahkan balak tanpa lesen disita di Hutan Simpan Berkelah.

Jelasnya, ini bagi membolehkan tonto memerhatikan pergerakan anggota penguatkuasa, dan sekaligus memudahkan aktiviti penebangan dan pemindahan balak dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hizamri berkata, lima individu telah ditahan iaitu tiga warga tempatan dan dua Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun dipercayai dalang sindiket itu.

Katanya, kesemua mereka ditahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Turut dirampas satu jengkaut, jentolak dan pacuan empat roda yang terdapat di kawasan terbabit.

Dalam perkembangan tersebut, Mohd Hizamri berkata, siasatan lanjut mendapati anggota sindiket itu hanya memindahkan balak bersaiz 5.6 meter panjang dan dijual kepada kilang papan luar negeri ini.

Katanya, pujian harus diberikan kepada 20 anggota UPK Pahang Barat dan UTK PHD Temerloh kerana berjaya mengesan seterusnya menyekat cubaan memindahkan balak secara haram.

“Pihak kita akan terus melakukan intipan bagi mengesan sebarang kegiatan menceroboh dan memindahkan hasil hutan tanpa lesen.

“Kita tidak berkompromi dengan pihak yang cuba melakukan kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!