Insiden LRT: Prasarana mantapkan SOP perkhidmatan

Pengabaian SOP kritikal oleh pemandu tren 40 dan pengawal OCC LRT ketika mengendalikan gerabak didakwa menjadi punca insiden pertembungan berlaku pada 24 Mei lalu.
Pengabaian SOP kritikal oleh pemandu tren 40 dan pengawal OCC LRT ketika mengendalikan gerabak didakwa menjadi punca insiden pertembungan berlaku pada 24 Mei lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) melaksanakan langkah segera dengan memantapkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sistem keselamatan, operasi, tenaga kerja dan penyelenggaraan rel untuk perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang beroperasi secara automatik tanpa pemandu.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan langkah itu sejajar dengan lima cadangan penambahbaikan jangka pendek yang perlu dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan berdasarkan laporan Jawatankuasa Siasatan Insiden Perlanggaran LRT tersebut.

“Langkah-Langkah ini adalah tambahan kepada piawaian antarabangsa dan SOP yang sedia ada. Kami sedang menyemak semula secara menyeluruh struktur, proses dan pematuhan keselamatan, kawalan akses ke trek, protokol untuk komunikasi dan sebagainya supaya kesemua cadangan jangka pendek dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, SOP juga telah diperketat serta-merta untuk menangani sebarang gangguan komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi (OCC) dan tren yang dipandu secara manual.

Katanya, SOP yang berkuat kuasa mulai 30 Mei lepas termasuk menetapkan keperluan dua pemandu (Hostler) bagi segala pemanduan tren manual untuk jajaran di bawah terowong LRT Laluan Kelana Jaya antara stesen Pasar Seni dan Damai.

Selain itu, OCC dan Hostler diwajib memastikan arah pergerakan tren yang dipandu adalah betul tanpa sebarang kesangsian dan rasa ragu serta membuat tambahan zon perlindungan atau ‘Manual Route Reservation (Automatic Train Protection) Buffer Zone’ kepada tren yang terputus hubungan bagi memastikan tren berhenti pada jarak lebih jauh.

Norlia berkata, pergerakan tren secara manual dihadkan dengan kelajuan maksimum pada hanya 20 kilometer (km) sejam dan pengeluaran Buletin Keselamatan secara kerap dan berkala beserta penerangan semula tentang aspek keselamatan dan SOP kepada semua tenaga kerja Prasarana.

Prasarana juga telah mempergiat latihan tindakan kecemasan mini (mini ERP) pada setiap Ahad malam dengan penekanan kepada senario ‘menyelamat tren yang terputus komunikasi dan pemanduan tren manual.’

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan staf dan sistem yang digunakan terutama apabila melibatkan kawasan yang sukar diakses seperti terowong bawah tanah dan jejambat.

“Latihan mini ERP ini sebenarnya telah berjalan sejak dahulu dan dilaksanakan dengan pelbagai fokus mengikut keperluan keadaan dan untuk mengendalikan pelbagai bentuk kecemasan,” katanya.

Norlia berkata, program latihan itu akan diselaras pada masa hadapan dengan kolaborasi pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk meningkatkan kemahiran staf dalam menyelamatkan tren berpandukan SOP ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Abai SOP punca insiden dua tren LRT bertembung

Beliau berkata, selain memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Siasatan itu serta berhubung dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat, fokus utama Prasarana ialah memberikan sokongan serta bantuan sewajarnya kepada penumpang terlibat.

Katanya, selain bantuan segera wang ihsan kepada penumpang terbabit, Prasarana menyediakan bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan perbelanjaan lain yang berkaitan serta menyediakan khidmat kaunseling oleh Lembaga Kaunselor Malaysia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Prasarana turut menyeru penumpang terlibat agar menghubungi Talian Krisis di 014-737 1330 dan e-mel ke recovery2021@prasarana.com.my untuk memudahkan komunikasi secara langsung tentang bantuan segera wang ihsan, pembayaran balik kos perubatan dan rawatan, tuntutan, dokumentasi serta akses kepada perkhidmatan kaunseling.

“Prasarana akan turut memberi laporan berkala tentang pelaksanaan cadangan penambahbaikan khususnya cadangan jangka pendek untuk segera memulihkan sepenuhnya keyakinan terhadap perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang amat penting untuk urusan harian warga kota,” katanya.

Norlia turut memohon maaf bagi pihak Lembaga Pengarah dan warga kerja Prasarana kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang khususnya atas insiden itu serta memaklumkan pihaknya menerima dengan terbuka keputusan laporan awal insiden yang dibentangkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!