Bantu 4,000 ahli daftar vaksin Covid-19
KOTA BHARU – Bukan hanya menjaga kebajikan mereka yang memerlukan, namun Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan turut membantu lebih 4,000 ahlinya melibatkan 800 keluarga untuk mendaftar dalam MySejahtera bagi mendapatkan vaksinasi masing-masing.
Pengerusi serta pengasas Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni berkata, untuk tujuan tersebut, pihaknya telah mengadakan Kempen Mendaftar Suntikan Vaksin Bagi Warga Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan bermula 6 Jun lalu.
Menurutnya, kempen yang menggunakan tagline #JomVaksin selama 10 hari itu dan akan berakhir pada 15 Jun melibatkan dua kaedah iaitu melalui pertemuan bersemuka di pejabat kelab dan juga panggilan telefon.
“Kita menjangkakan 500 sahaja yang dapat hadir disebabkan oleh Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan kerajaan masa kini. Selain itu pihak kami juga mengambil inisiatif dengan menghubungi ahli-ahli yang selebihnya untuk mendapatkan maklumat mereka sebelum mendaftarkan mereka melalui dalam talian.
“Langkah ini sangat penting memandangkan kami sedia maklum mengenai masalah-masalah yang dihadapi mereka seperti tiada telefon pintar, tidak pandai mengisi MySejahtera dan tidak kurang juga yang tidak boleh membaca dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, Meor Shamshir berkata, pendaftaran terus di pejabat kelab hanya melibatkan ahli dari Kota Bharu manakala ahli yang tinggal di luar daerah seperti Pasir Mas, Tanah Merah dan daerah-daerah lain pendaftaran mereka dilakukan melalui panggilan telefon.
Katanya, seramai empat kakitangan ditugaskan untuk melakukan pendaftaran tersebut setiap hari bagi memastikan kempen dapat dijalankan sebaik mungkin.
“Pendaftaran dibuat untuk satu sekeluarga jadi ia akan memudahkan lagi urusan pendaftaran tanpa perlu dilakukan secara individu. Apa yang penting kita menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama daftar dan terima vaksinasi masing-masing dalam waktu terdekat ini.
“Lebih 30 peratus daripada 4,000 ahli kita adalah warga emas. Sebab itu kami tekankan betapa pentingnya pendaftaran MySejahtera ini kerana kami bimbang mereka terdedah dengan risiko penularan pandemik Covid-19 memandangkan ada dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai penjaja dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!