Ada sebab ALLAH bagi lambat: Izzue Islam

No Image Caption
A
A
A

TIDAK dinafikan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga menjadi impian buat semua pasangan berkahwin.

Meskipun begitu, tidak semuanya bernasib baik, ada yang dikurniakan pada tahun pertama perkahwinan dan ada pula yang masih terus menanti.

Begitulah yang dilalui oleh pelakon dan penyanyi Izzue Islam bersama isteri tercinta Nurinafilah Waharudin atau lebih dikenali dengan panggilan Awin.

Pasangan ini masih menanti dikurniakan zuriat yang perkahwinan mereka sudah memasuki tahun keenam.

Biarpun hakikatnya berat untuk menerima ketentuan ini, suratan takdir setiap individu telah ALLAH SWT tetapkan.

Cuma sebagai hamba-Nya hendaklah terus berusaha mencari ikhtiar dan senantiasa bersangka baik.

Bercakap kepada Sinar Harian sewaktu sesi fotografi, pasangan itu akur dengan perkara yang sedang mereka hadapi ketika ini.

“Soal zuriat tahun ini azam saya nak sambut tahun baharu 2020 bertiga. Jadi pada tahun ini saya akan berusaha untuk mencari masa dengan berjumpa pakar untuk pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Sepanjang perkahwinan kami sebenarnya belum ada kesempatan lagi nak pergi. Tahun lalu dah tetapkan tarikh nak pergi tetapi kekangan masa kerja pula.

“Oleh sebab itu, pertengahan tahun ini kami akan pergi untuk sesi pemeriksaan dan jika memerlukan isteri menjalani rawatan, teruskanlah,” ujarnya.

Bagi pasangan yang sudah lama melayari bahtera rumah tangga tanpa zuriat lazimnya akan mengambil anak angkat, pun begitu, Muhammad Izzul Islam Mazlan atau Izzue dan isteri sebaliknya terus sahaja bersabar menunggu berita baik.

“Ada juga orang tanya fasal anak angkat dan malah saya dengan isteri ada berbual sama ada nak ambil atau tunggu sahaja dengan rezeki daripadaNya.

“Setakat ini bila fikir semula jadual kerja padat dan rasanya belum lagi nak ambil anak angkat.

“Bila fikir positif, ada sebab kenapa tuhan tak nak bagi awal-awal mungkin sebab saya dan isteri terlalu sibuk dengan kerja.

“Jadi bila ada anak mungkin susah juga nak jaga, itulah sebabnya ALLAH bagi lambat,” jelas Izzue inilah antara sebab-sebab positif mereka.

Terima kekurangan

Walaupun terus diduga dan diuji, pasangan ini sekalipun tidak mengeluh, bahkan masih mampu mengukir senyuman di bibir masing-masing. Rahsianya adalah mereka selalu berfikiran matang.

“Tak tahulah apabila menjalani pemeriksaan nanti sama ada saya atau isteri yang punya masalah, namun apa yang penting adalah saling menerima kelebihan dan kekurangan suami isteri.

“Kalau kita boleh terima kelebihan seseorang kenapa tidak boleh menerima kelemahannya pula bukan?

“Justeru jalani kehidupan kena selalu berfikiran terbuka. Orang kata apa pun kami positif sahaja,” katanya.

Mengenai kerjaya, Izzue merancang untuk perbanyakkan program pengacaraan agar lebih banyak masa dapat diluangkan bersama isteri tercinta.

“Kalau buat pengacaraan ini masa penggambaran tak lama, dua minggu sudah boleh habiskan 13 episod berbanding dengan berlakon. Jadi akan ada masa untuk bersama isteri,” katanya bakal membintangi telefilem Resort Hantu di stesen TV3.

Manakala karier nyanyian, Izzue kini sedang rancak mempromosikan single terbaharu berjudul Kau kerjasama Mixology Music.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!