KPM nafi ‘Skala Gred SPM’ milik Lembaga Peperiksaan
SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan hantaran di media sosial Facebook milik MamaMia Mia pada Jumaat mengenai ‘Skala Gred SPM’ yang sedang tular bukan milik Lembaga Peperiksaan (LP).
KPM menerusi kenyataan berkata, hantaran tersebut mencemar imej, kewibawaan dan kredibiliti LP sebagai badan pentaksiran negara dan menggugat ketenteraman awam.
“’Skala Gred SPM’ tersebut menggambarkan seolah-olah ianya gred pemarkahan sebenar SPM tahun 2020 dan boleh mengelirukan orang ramai terutamanya ibu bapa dan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020.
“Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan polis pada jam 10.31 malam pada Jumaat serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi siasatan lanjut,” katanya.
Pada Jumaat, tular mengenai hantaran di media sosial Facebook milik MamaMia Mia mengenai ‘Skala Gred SPM’ dengan kapsyen “Patut aku pelik budak2 sekarang berderet A” dan #bilasekolahdipolitikkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!