Josue hampiri jejak Harimau Malaya

Josue terus menjadi nadi kekuatan KL City FC musim ini.
Josue terus menjadi nadi kekuatan KL City FC musim ini.
A
A
A

JIKA semua urusan berjalan lancar, kapten Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue bakal bergelar pemain naturalisasi terbaharu skuad Harimau Malaya.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard memaklumkan, pihaknya kini dalam usaha untuk menaturalisasikan pemain tengah kelahiran Brazil berusia 32 tahun itu.

Menurutnya, Josue yang telah beraksi selama lima tahun bersama KL City FC sejak 2017 lalu dilihat wajar dijadikan pemain naturalisasi berikutan prestasi baik yang ditunjukkan.

“Perkara ini adalah sesuatu yang ingin kita sempurnakan dalam usaha membantu skuad kebangsaan dan kita bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu bagi memastikan Josue menjadi pemain naturalisasi negara kelak.

“Tambahan pula, ini adalah tahun kelima dia beraksi bersama KL dan kalau ikutkan dia telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk dijadikan pemain naturalisasi.

“Namun, kami perlu memastikan Josue berada pada tahap prestasi terbaiknya sebelum bergelar pemain naturalisasi agar dia sentiasa menjadi pilihan untuk beraksi dalam kesebelasan utama,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar baru-baru ini.

Dalam aksi Liga Super pada 6 Mei lalu, Josue meledak hatrik ketika membantu KL City FC menewaskan Penang FC 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan Josue bersama KL City FC meletakkan dia kini sebagai antara calon terhangat untuk membarisi skuad Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, Harimau Malaya diperkuatkan dengan trio naturalisasi - pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh; Guilherme de Paula (Brazil/JDT) dan Liridon Krasniqi (Kosovo/JDT).

Dalam pada itu, Stanley berkata, pihaknya telah melanjutkan kontrak Josue selama dua tahun lagi kerana berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan pemain tengah berkenaan selama beraksi bersama skuad warga kota.

“Kami cukup gembira dengan sumbangan yang diberikan Josue selama ini dan diharapkan lanjutan kontrak yang ditawarkan ini membolehkan dia terus beraksi cemerlang bersama KL City,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!