Perlukah Mageran ditubuhkan?

A
A
A

KETIKA pandemik Covid-19 terus menekan negara dari pelbagai sudut, beberapa cadangan dan pandangan ditimbulkan tentang bagaimana Malaysia patut diuruskan dalam menghadapi waktu sukar.

Paling menarik, sudah tentulah usul penubuhan semula Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Cadangan itu menarik kerana ia disandarkan pada nostalgia keberkesanan Mageran dalam menyelesaikan permasalahan tahun 1969 berpunca daripada ketegangan kaum yang berdarah.

Selepas darurat diumumkan dan Mageran ditubuhkan, badan itu mempunyai kuasa penuh ke atas pentadbiran negara yang secara dasarnya berfungsi untuk mengawal ketenteraman dan kestabilan, selain memastikan jentera pentadbiran negara masih berfungsi dengan baik walaupun semasa darurat.

Memang penubuhan Mageran telah berjaya menyelamatkan negara. malah apa yang kita ada hari ini adalah hasil buah fikiran pemimpin yang menganggotainya. Dua permasalahan utama yang dipertanggungjawabkan kepada Mageran – perpaduan kaum dan kesejengangan ekonomi bukan sahaja berjaya diselesaikan, malah meninggalkan legasi yang menunjangi negara hingga kini. Rukun Negara menjadi tonggak keharmonian kaum dan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) mengubah ekonomi negara. Dua aspek itu berjaya membentuk kestabilan politik dan sosioekonomi negara hari ini hasil dedikasi Mageran.

Cumanya ketika Mageran ditubuhkan, negara belum pernah ada satu badan khusus bagi menangani situasi luar jangka walaupun ada pengalaman melakukan darurat. Sebab itu, apabila Mageran muncul, ia mendapat sokongan semua pihak.

Hal itu berbeza dengan situasi sekarang. Selepas tahun 1971, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini diwujudkan sebagai entiti khusus yang bertanggungjawab menyelaraskan dasar berkaitan keselamatan negara. Jika diperhatikan, memang tiada keperluan menubuhkan Mageran kerana negara sudah ada MKN bagi tujuan tersebut. Jika Mageran ditubuhkan, sudah tentu ia menidakkan fungsi MKN yang kelihatan sama sahaja. Dari segi keperluan, penubuhan Mageran tahun 1969 dilihat perlu disebabkan keadaannya lebih kritikal, ditambah dengan ketiadaan satu badan khusus bagi menanganinya.

Ia jelas berbeza dengan keadaan semasa. Pandemik ketika ini masih boleh ditangani dengan mekanisme sedia ada. MKN juga masih berupaya melakukan tugasan diamanahkan di sebalik beberapa kelemahan. Cuma barangkali sedikit kecewa apabila darurat yang diisytiharkan nampaknya tidak menyumbang sangat dalam memerangi Covid-19. Mungkin aspek itu yang membawa kepada usul Dr Mahathir pada Khamis lalu.

Namun, terdapat satu aspek yang jarang diperkatakan dalam kejayaan Mageran berbanding perkara lain. Aspek itulah yang barangkali tidak ada kalau Mageran yang dicadangkan Dr Mahathir ditubuhkan. Ia diakui sendiri oleh beliau dalam kenyataannya bahawa cadangan Mageran itu tidak akan berlaku disebabkan tiada sambutan dan sokongan semua pihak. Tambahan pula ketiadaan tokoh berwibawa dalam memimpin Mageran juga berupaya menggagalkan perjalanan badan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengapa begitu? Ia boleh dilihat dengan menelusuri sejarah Mageran. Ketokohan Tun Abdul Razak dan sokongan kuat semua pihak ketika itu adalah nadi keberhasilan Mageran. Walaupun Tun Razak sebagai Pengarah Mageran mempunyai kuasa eksekutif tidak terbatas, beliau tidak sesekali membuat keputusan bersendirian dan sering melihat kuasa mutlak itu harus segera dipulangkan kepada rakyat dan mengembalikan semula pemerintahan demokrasi. Ketokohan, falsafah dan pegangan politik Tun Razak yang menjadikan Mageran dihormati semua, lantas membolehkan beliau fokus menyempurnakan tanggungjawabnya.

Jika Mageran masih mahu ditubuhkan, maka siapakah pemimpin berjiwa besar seperti Tun Razak yang sanggup tidak menjadi ‘diktator’ menyalahgunakan kuasa darurat dan melupakan selera mahu berkuasa kerana benar-benar mahu fokus membetulkan keadaan demi rakyat dan negara? Kalau itu tiada, maka lupakanlah.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!