Fokus berdepan Thailand
BIARPUN tewas 1-2 kepada Vietnam pada aksi kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum pada awal pagi Sabtu, namun ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan pemain agar memberikan fokus bagi aksi berdepan Thailand, 15 Jun ini.
Menyedari peluang tipis skuad kendaliannya itu untuk layak ke pusingan seterusnya bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022, namun Cheng Hoe berharap kesebelasan pemain tetap fokus bagi menempah slot ke pusingan seterusnya bagi saingan Piala Asia 2023 kelak.
“Bagi saya, peluang kita agak tipis untuk mara ke pusingan seterusnya bagi kelayakan Piala Dunia (2022), namun fokus kita kali ini beralih kepada kelayakan Piala Asia (2023), pula.
“Oleh itu, kesemua pemain perlu bersedia untuk perlawanan dengan Thailand nanti kerana saya menjangkakan ia pastinya bukan perlawanan yang mudah.
“Lagipun, mereka dilihat memiliki ‘masa rehat’ yang lebih baik berbanding kita. Namun, sebagai jurulatih, saya akan memastikan semua pemain dalam keadaan cergas dan bersedia untuk berdepan Thailand,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.
Pada perlawanan berkenaan, Vietnam membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi Nguyen Tien Linh sebelum pemain naturalisasi, Guilherme de Paula menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-73 bagi menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun, Vietnam berjaya menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan skuad Naga Emas itu hasil sepakan penalti Que Ngoc Hai pada minit ke-83.
Kekalahan itu menyaksikan skuad negara berada pada kedudukan keempat dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan tewas empat kali daripada tujuh perlawanan setakat ini.
Sementara itu Cheng Hoe berkata, beliau tetap berpuas hati dengan aksi ditunjukkan oleh kesebelasan pemain pada perlawanan berkenaan.
Katanya, kesemua pemain dilihat telah beraksi dengan penuh komited selain berdisiplin di sepanjang perlawanan.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan semua pemain, namun kerana sedikit kelekaan, pintu gol kita dibolosi.
“Saya juga tidak boleh menyalahkan mana-mana pemain atas kekalahan ini, cuma kita perlu terus meningkatkan mutu permainan kita sebagai satu pasukan pada masa akan datang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!