Kalau sudah jodoh...

A
A
A

CIK Lin tidak peduli apa yang hendak dikata oleh orang lain kepadanya. Tidak pernah terkesan di hatinya. Tidak ada masa katanya hendak ambil tahu. Buang masa sahaja. Tidak penting untuk dipedulikan.

Macam-macam mulut orang mengatanya. Ada yang kata anak dara tua, tidak siapa hendak kepadanya, anak dara tidak laku, sombong dan bermacam lagi label diberi. Tapi seperti kata Cik Lin: “Ada aku kisah!”

Memang Cik Lin bukan calang-calang orang. Jawatannya tinggi dalam syarikat. Ramai bekerja di bawahnya. Sebagai bos, dia amat tegas dengan anak-anak buahnya. Kadangkala terdengar rungutan terutama daripada pekerja lelaki. Cerewet kata mereka.

Penampilan Cik Lin bukan biasa-biasa. Gayanya anggun, boleh membelalakkan mata lelaki memandangnya. Pemakaian tudungnya pun digayakan dengan pelbagai cara. Ada dibelit ke kiri, kadang-kadang diputar ke kanan. Ada juga dibiar tergantung ke belakang dan ada juga dijerut sahaja di bawah lehernya dengan dihiasi kerongsang bertatahkan permata.

Dengar cerita ramai lelaki cuba hendakkan Cik Lin tetapi kata Cik Lin, setakat hari ini hatinya tidak terbuka lagi untuk siapa-siapa. Lagipun katanya dengan angkuh: “Jantan-jantan ini bukan hendakkan aku tapi hendak menumpang kesenangan aku sahaja.”

Bagi diri Cik Lin, mengikut prinsip hidupnya: “Aku sudah selesa sekarang. Buat apa aku nak menyusahkan diri dengan jaga orang lain pula. Baik aku jaga hidup aku sendiri.”

Begitulah Cik Lin yang saya kenal sebelum ini. Lama juga saya tidak berjumpa dengannya, cuma beberapa bulan lalu saya ada berjumpa atas urusan kerja. Saya bertanya Cik Lin: “Cik Lin tak ada rasa nak kahwin ke?”

Saya sebenarnya sudah tahu jawapan Cik Lin. Sengaja saya bertanya hendak mendengar daripada mulutnya sendiri. Cuma apabila mendengar jawapannya membuatkan saya terkejut.

Artikel Berkaitan:

“Itulah aku pun ada terfikir juga. Sejak akhir-akhir ini terasa sunyi. Umur aku pun makin meningkat. Terasa juga hendak menimang anak. Tapi tak taulah ada yang berminat dengan aku ni lagi,” jawab Cik Lin.

Saya tertanya-tanya kenapa Cik Lin sudah berubah. Di mana prinsip hidup yang selama ini sangat dipertahankan. Adakah sudah hilang pudar sekelip mata? Ataupun bak kata pepatah hangat-hangat tahi ayam sahaja.

“Tak ada orang cuba rapat dengan Cik Lin ke?” tanya saya.

“Tak ada,” jawab Cik Lin hampa.

“Mungkin Cik Lin kena mula bergaul dengan orang lain. Buka sikit ruang orang kenal Cik Lin dengan lebih dekat. Mungkin mereka tak berani, lagipun Cik Lin orang yang berjawatan tinggi dan hebat kot,” kata saya memberi nasihat.

“Ataupun susah-susah sangat, Cik Lin pergilah pinang siapa-siapa yang berkenan di hati,” kata saya lagi.

“Kau gila apa! Mana mungkin,” kata Cik Lin menjerit.

“Apa kata Cik Lin rendahkan ego dan jangan tonjolkan sangat cerdik tu, kata orang bijak pandai buat bodoh-bodoh sikit. Mesti ada lelaki di luar sana akan mudah mendekati Cik Lin,” kata saya lagi memberi cadangan yang saya rasakan sangat bernas.

“Aku belajar nak jadi cerdik, kau suruh aku bodohkan diri hanya kerana nak dapat jodoh!” jerit Cik Lin lagi.

“Suka hati Cik Lin lah. Jangan sampai rumput mencari kuda pula,” jawab saya terasa dengan jeritan Cik Lin yang menerjah telinga.

Saya ada bercerita tentang Cik Lin kepada isteri saya. “Lambat jodohnya,” kata saya.

“Itulah, awak tahu, kawan saya yang habis belajar ramai yang belum kahwin. Tak ada calon. Awak ada kenal siapa-siapa yang berminat?”

“Tak kenal, tak kenal,” jawab saya yang tidak berminat menjadi pencari jodoh orang lain. Nanti jika terjadi apa-apa, kita pula dipersalahkan.

Lagipun jodoh di tangan Tuhan tetapi kita hendaklah berusaha. Kalau dah jodoh tidak ke mana. Bak kata pepatah asam di darat, ikan dilaut, bertemu dalam belanga juga.

Berita terakhir saya terima menyatakan Cik Lin sudah selamat mendirikan rumah tangga. Katanya, dia berkahwin dengan seorang pemandu teksi. Yang kebetulan pula, pemandu teksi tersebut yang selalu menghantar Cik Lin pergi kerja.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!