‘Saya bukan kecewa, hanya meluahkan kekesalan’
PADA saat kerajaan mendepani bencana pandemik Covid-19 yang semakin genting ketika ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mencuri tumpuan ramai melalui kenyataan kontroversinya pada Rabu.
Lantang mempersoalkan tindakan kerajaan dalam menangani Covid-19 terutama dalam aspek mempercepatkan proses vaksinasi rakyat, Ahli Parlimen Alor Gajah yang mesra disapa Pak Wan turut mendedahkan beliau tidak lagi dijemput menjadi ahli mesyuarat Majlis Tindakan Negara (MKN) sejak perayaan Aidilfitri yang lalu.
Pengakuan Pak Wan sememangnya mengejutkan semua pihak, lebih-lebih lagi portfolio Menteri Tugas-Tugas Khas yang disandang mempertanggungjawabkan beliau untuk menguruskan agensi melibatkan bencana nasional iaitu Agensi Pengurusan Bencana Nasional (Nadma).
Sesi wawancara eksklusif Pak Wan bersama wartawan, Khairil Anwar Mohd Amin dan Mohammad Amnan Hibrahim pada Khamis, menjawab rasional sebenar di sebalik dakwaan menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu seolah-olah mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN).
SINAR HARIAN: Apakah perbezaan dua portfolio kementerian yang dipegang Datuk Seri sewaktu kerajaan PN dan Pakatan Harapan (PH)? Mana yang lebih mencabar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) atau Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi?
MOHD REDZUAN: Lihat secara kasar, sewaktu saya memegang portfolio Kementerian Pembangunan Usahawan, bidang itu sebenarnya dekat dengan hati saya. Di mana saya tahu terutamanya kedudukan usahawan bumiputera dalam penglibatan usahawan yang menjana ekonomi negara. Kalau kita lihat dahulu, sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada pembangunan negara lebih kurang 38 peratus.
Tetapi, ketika itu, kedudukan bumiputera, kalau dilihat daripada pembangunan bumiputera, tidak begitu ketara. Di situlah bermulanya tugas saya untuk lebih kepada membawa idea baharu, bukan sekadar perniagaan seperti biasa, untuk memastikan agenda bumiputera dilestarikan dan diperkasakan serta mendapat impak tinggi.
Tetapi apakan daya, kerajaan PH sebelum ini tidak dapat dilestarikan. Maka saya bersama-sama mengikuti arus politik semasa ketika itu untuk membantu menyokong pembentukan kerajaan PN. Agenda ketika itu sangat jelas, dimasukkan di dalam portfolio tugas-tugas khas digalas saya ketika ini, ada juga dimasukkan cir-ciri pembangunan. Saya telah menggalas tanggungjawab untuk menyelaras segala bentuk pembangunan ekonomi bumiputera.
Di bawah portfolio tugas-tugas khas juga turut meliputi agensi seperti SEPADU iaitu naratif baharu Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang merangkumi aspek pembangunan bumiputera secara inklusif. Tidak lama lagi, kita akan lancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030, selari dengan tempoh masa kita mencapai objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Kita juga hendak lihat, bila kita capai WKB 2030, bumiputera akan mencapai tahap impak tertentu yang ditetapkan kerajaan PN. Itu adalah tugas paling penting di dalam porfolio saya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas.
Tugas yang lain adalah melibatkan pengurusan bencana nasional dan pengurusan tenaga-tenaga yang melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bersama dengan Agensi Pengurusan Bencana Nasional (NADMA) untuk menguruskan bantuan tertentu apabila tiba kejadian bencana hingga ke akar umbi. Sebagai contoh, pandemik Covid-19 adalah bentuk bencana paling jelas dihadapi negara ketika ini.
Ada pihak mendakwa portfolio kementerian dipegang Datuk Seri sekarang ini adalah downgrade daripada portfolio kementerian Datuk Seri galas sewaktu kerajaan PH. Apa pandangan Datuk Seri?
Tiada isu downgrade. Kalau kita lihat kerajaan berfungsi secara konsensus. Masing-masing ada tanggungjawab dan portfolio kementerian tertentu untuk digalas. Tiada seorang pun yang boleh mengatakan portfolio kementerian ini adalah lebih kurang berbanding portfolio kementerian lain.
Apapun, keputusan kerajaan di peringkat dasar, kita akan berbincang di Kabinet dan akan mencapai konsensus, sebelum kita mengumumkan atau mahu melaksanakan dasar-dasar dipersetujui bersama. Tidak timbul isu portfolio menteri itu kecil atau tidak, semuanya amat besar dan penting.
Semuanya akan diuruskan oleh barisan Kabinet itu sendiri dengan konsensus yang ada.
Adakah proklamasi darurat benar-benar membantu kerajaan dalam mendepani bencana Covid-19?
Secara peribadi, proklamasi darurat dianggap perlu bagi membolehkan kerajaan mewujudkan ordinan-ordinan tertentu bagi memudahcarakan pengurusan bencana. Kita tidak mahu melihat ada kenderaan askar di tepi jalan. Bukan bentuk darurat sebegitu yang kita mahukan. Ia lebih menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat. Maka perlunya darurat diwujudkan.
Kalau tiada darurat, apa sahaja bentuk pelaksanaan kita hendak lakukan, melibatkan sokongan daripada Dewan Rakyat, ini akan melambatkan tindakan kerajaan dan mengkompromi soal nyawa serta kehidupan rakyat. Jadi, tindakan itu saya rasa tepat dan kita lihat, jika perlu sesuatu perkara dibawa kepada pengetahuan rakyat, maka sidang Dewan Rakyat kena bersidang. Tiada masalah.
Jadinya darurat adalah satu proklamasi yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan, yang boleh kerajaan laksanakan semata-mata untuk meningkatkan aspek keselamatan, terutama dari aspek kesihatan.
Jadi, contoh, kita tidak tahu dalam masa terdekat, adakah kes ini akan menular dengan lebih tinggi lagi? Justeru, kerajaan boleh mengguna pakai ordinan darurat bagi kuasa-kuasa tertentu, untuk memastikan penggunaan aset-aset tertentu, bagi dimobilisasi kerahan tenaga tertentu, supaya pengurusan Covid-19 lebih berkesan dan bersasar.
Kalau kita bawa usul sebegini untuk dibahaskan, ianya memerlukan banyak masa dan berkemungkinan tentangan daripada ahli-ahli Parlimen tertentu yang ada pandangan berbeza.
Pada Khamis, Datuk Seri ada meluahkan pandangan berbeza mengenai kaedah sepatutnya kerajaan menangani Covid-19. Nada Datuk Seri juga seolah-olah kecewa kerana tidak lagi dijemput menghadiri mesyuarat MKN. Boleh Datuk Seri jelaskan?
Sebenarnya, saya bukan kecewa, itu salah tafsir. Saya sebenarnya hanya meluahkan kekesalan kepada wartawan yang bertanya kepada saya. Kekesalan atau persoalan kepada kerajaan adalah berbeza dengan kekecewaan.
Kalau wartawan yang bertanya, Pak Wan ditempatkan di bawah Nadma. Ini soalan yang mudah. Semua orang tahu Nadma menguruskan bencana. Sekarang ini apa yang ditakrifkan bencana? Covid-19. Jadi, Nadma memang di bawah MKN. Persoalan itu mudah sahaja.
Kalau Nadma bukan bawah MKN, mengapa diletakkan di bawah Menteri Tugas-Tugas Khas? Itu hanya persoalan. Mengapa hendak dijadikan isu untuk disensasikan? Ini bukan kritikan kepada kerajaan. Ini sekadar pandangan yang mahu beri penambahbaikan kepada usaha kerajaan.
Kita sebagai satu unit yang mahu mentadbir urus negara, dari sudut bencana, perlu memenuhi segala fungsi kerajaan sebagaimana diamanahkan oleh rakyat. Saya pandang perkara ini tidak menjadi satu isu yang besar. Cuma orang politik dilihat bersungguh-sungguh mensensasikannya.
Jadi, benar saya tiada dalam MKN. Itu benar dan diperakui kerajaan sendiri. Adakah saya mahu membuat satu pembohongan? Mahu saya akui saya terlibat dalam mesyuarat MKN selepas perayaan Aidilfitri? Tidak boleh. Saya kena menjadi jujur dan berkata benar untuk kebaikan diri saya selain memberi persepsi kepada rakyat tentang ketelusan kita. Jadi apa masalahnya?
Secara lebih jelas, apa sebenarnya status Datuk Seri dalam MKN dan kerajaan PN sendiri?
Saya sebagai menteri yang menguruskan bencana nasional. Saya tidak tahu. Itu terpulang kepada Perdana Menteri. Dari segi sejarahnya, hari pertama saya memegang jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas, saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bencana Covid-19.
Itu ada dalam arkib catatan mesyuarat. Selepas itu, saya disarankan untuk duduk dalam MKN di bawah sektor keselamatan. Saya juga dijemput secara bersurat untuk menghadiri mesyuarat MKN di bawah sektor ekonomi. Tetapi malangnya belum dapat hadiri mesyuarat pertama, saya diarahkan supaya tidak menyertainya.
Jadi, ini terpulang kepada pasukan kerajaan. Kita turut perintah. Kalau ada, adalah dan kalau tiada, saya tiada masalah.
Pada saat genting ketika ini, ada keperluankah bilangan menteri bertanggungjawab untuk menangani Covid-19 melalui mesyuarat MKN dikecilkan atas alasan untuk mengelakkan pertindihan bidang tugas?
Saya tidak pasti bencana Covid-19 serius atau tidak, sebab saya tidak lagi dijemput dalam mesyuarat MKN. Bagaimana saya hendak mengukurnya? Tetapi berdasarkan maklumat semasa, kadar kebolehjangkitan Covid-19 sudah banyak berkurang daripada angka kemuncak sebelum ini.
Saya pasti MKN telah membuat satu tindakan terbaik membolehkan kerajaan mengurangkan kadar jangkitan itu.
Ramai rakyat berpendapat negara tidak boleh berterusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setiap kali kes kembali naik kerana tindakan itu akan menjejaskan ekonomi untuk jangka masa panjang. Jadi apa penyelesaian terbaik boleh dicapai kerajaan?
Pendapat saya, kalau hendak buat Sekatan Pergerakan Penuh, ia akan menjejaskan kehidupan termasuk pendapatan negara. Jadi, satu keseimbangan diperlukan dalam menangani isu ini.
Saya rasa MKN yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang tertentu, mampu merumuskan solusi yang terbaik.
Contohnya penularan Covid-19, sumbangan terbesar adalah dari kluster perkilangan. Jadi, isu ini perlu ditangani secara lebih holistik. Kita tidak boleh kata kena tutup semua. Kalaupun mahu tutup semua, mesti ada plan penyelesaian alternatif terbaik.
Kita kena unjurkan apa impak terpaksa ditanggung kerajaan sekiranya perintah berkurung benar-benar dilaksanakan dengan sektor ekonomi ditutup sepenuhnya. Adakah kita bersedia untuk menguruskan impak itu setelah dua minggu? Itu terpulang kepada MKN.
Datuk Seri ada mempersoalkan mengapa Badan Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) tidak memberi kelulusan bersyarat kepada produk syarikat-syarikat vaksin selain Pfizer BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca yang dibekalkan kepada rakyat ketika ini. Apa isu sebenar berlaku di sebalik fungsi NPRA itu sendiri?
Bila darurat dilaksanakan, kerajaan masih lagi pada tahap work in progress. Mungkin apa sahaja situasi atau dasar kita, contohnya semua bentuk produk perubatan, perlu mendapatkan kelulusan NPRA. Itu memang amalan wajib dan mandatori demi memastikan produk itu tidak disalahgunakan dan akan dibawa kepada rakyat.
Tetapi, kita melihat daripada segi pendekatan holistik yang bersifat pelbagai. Ini pun telah diputuskan dan kita telah menyambutnya dengan memberi saranan mengapa tidak membawa kaedah kelulusan mengambil kira ia pandemik dunia dan tidak sekadar berlaku di Malaysia.
Kalau di negara lain boleh menggunakan vaksin Sinopharm, mengapa kita tidak boleh memakainya dan harus menunggu kelulusan NPRA? NPRA hanyalah satu badan yang memproses aspek kelulusan produk kesihatan.
Jika kita ambil pendekatan menggunakan kuasa-kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, sekiranya Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) daripada negara asal yang mengeluarkan bekalan vaksin itu dan diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sepatutnya NPRA boleh mempercepatkan kelulusannya, sekali gus mempercepatkan usaha mencapai imuniti berkelompok.
Kita perlu ada bekalan daripada pelbagai syarikat vaksin yang sudah menerima EUL. Ini penting supaya kadar vaksinasi rakyat negara dapat dipertingkat dan dipercepatkan daripada jadual asal.
Jadi, kita tidak menghadapi risiko seperti dakwaan penggunaan AstraZeneca di Thailand berkemungkinan terpaksa ditangguhkan selama tiga bulan. Adakah berita sebegini akan memberi impak kepada jadual vaksinasi rakyat negara kita?
Kalau kita ada bekalan alternatif jenis vaksin yang lain seperti Sinopharm dan Sputnik V, mungkin keadaan lebih baik. Saya sendiri mahu gunakan jenis vaksin yang sudah melalui ujian klinikal manusia fasa ketiga di Malaysia sendiri dan terbukti halal. Kalau syarikat lain dapat kelulusan EUL, kenapa kita tidak guna pakai vaksin berkenaan?
Adakah syarat ketat NPRA untuk meluluskan jenama vaksin lain disebabkan negara terikat dengan program pengedaran vaksin antarabangsa (COVAX)?
Perjanjian COVAX yang kita sertai adalah bertujuan memberi jaminan bekalan vaksin awal akan diperolehi kerajaan berdasarkan nilai pembayaran pendahuluan dikemukakan kerajaan. COVAX menjamin negara yang menyertai perjanjian itu menerusi kaedah ‘first right refusal’ bagi kuantiti 10 peratus daripada populasi penduduk negara berkenaan.
10 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia adalah bersamaan purata 3.2 juta orang. Selain itu, kita bukan sahaja menggunakan pendekatan perjanjian COVAX untuk mempercepatkan proses membentuk imunasi berkelompok. Komitmen perjanjian COVAX hanya 10 peratus daripada populasi negara kita.
Jadi, lebihan 90 peratus daripada populasi penduduk Malaysia, kerajaan terbuka terima apa sahaja jenama vaksin diluluskan WHO tetapi harus melepasi NPRA.
Justeru, dengan kaedah menjunjung bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menggunakan ordinan darurat bersesuaian, kita membuat satu pendirian menyatakan segala jenama vaksin yang ada kelulusan EUL dan WHO, boleh diguna pakai sementara NPRA menjalankan proses regulatori wajib bagi mengukuhkan kelulusan penggunaannya.
Datuk Seri ada mencadangkan tenaga lebih dua juta sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dimanfaatkan bagi melicinkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Setakat ini, berapa peratus sumber tenaga APM yang dimanfaatkan?
Saya akui cadangan saya disambut baik oleh kerajaan. Di Kedah, contohnya mereka bekerjasama dengan Jabatan Pengurusan Bencana negeri dan daerah untuk sama-sama melibatkan diri dalam pengurusan bencana Covid-19.
Kita gerakkan ambulans dan sukarelawan APM untuk mengenal pasti komuniti yang ada gejala ataupun diuji positif Covid-19.
Kita mempunyai sukarelawan lebih daripada 2.2 juta yang berdaftar. Mereka ini kita berikan pakaian seragam. Kita ada seeded community, iaitu orang yang berpelajaran, berkebolehan tinggi seperti doktor, jururawat mahupun pensyarah.
Bagi kumpulan ini, mereka adalah sukarelawan yang kita ada data dan boleh gerakkan untuk membantu.
Berdasarkan kedudukan terkini Datuk Seri yang tidak lagi menjadi ahli mesyuarat MKN, terdapat desas-desus mendakwa rombakan Kabinet bakal dilaksanakan kerajaan PN. Sekiranya perubahan itu turut melibatkan jawatan Datuk Seri, adakah Datuk Seri bersedia?
Itu saya tidak tahu. Apa sahaja tindakan seseorang telah lakukan atau mahu lakukan, dia kena bertanggungjawab. Sekiranya apa yang dibangkitkan ini ada impak dari sudut pentadbiran, saya kena bertanggungjawab.
Nak buat macam mana. Kita cuma menyuarakan suara hati rakyat. Bukan orang kata nak melawan apa sahaja, tidak nampak pun melawan dasar.
Cuma mahu betulkan keadaan supaya ia lebih holistik dalam menguruskan apa sahaja bentuk yang kita mahu laksanakan.
Kalau ini soalan yang melibatkan pasukan itu sendiri, bukan saya tidak berani, tetapi semuanya atas Perdana Menteri.
Bagaimana pula hubungan komunikasi antara menteri dengan pucuk pimpinan negara sekarang ini termasuk Perdana Menteri. Adakah hubungan itu berjalan dengan baik?
Sepanjang mengenali Perdana Menteri, tidak ada sebarang pandangan yang beliau tidak boleh diterima terus. Pandangan-pandangan itu akan melibatkan perbahasan dan dari situlah kita ada solidariti dalam mencapai konsensus.
Apabila kita mencapai konsensus kita kena bertanggungjawab dalam satu pasukan dalam yang disebut tadi membuat keputusan secara konsensus.
Ini biasa, jadi tidak ada isu apa yang saya sebutkan itu tidak melambangkan usaha membelakangi konsensus. Ini saya sebutkan tadi, ia adalah situasi yang dinamik dan saya sebutkan tadi perlu ditambah baik di setiap peringkat.
Bukannya kita boleh melaksanakan 100 peratus sempurna. Tidak salah kita mengutarakan pendapat, bukan mengkritik, penambahbaikan. Contohnya, Perdana Menteri menyambut dan menyatakan ia termasuk dari segi melaksanakan imuniti kelompok.
Ketika kita sedang menggunakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bandar-bandar besar, kita juga sedang menggerakkan di tempat-tempat lain menggunakan aset-aset tertentu seperti klinik kerajaan seboleh mungkin untuk perluaskan suntikan vaksin dengan secepat mungkin.
Jadi adakah kita kekal dengan keputusan yang telah ditetapkan? Perdana Menteri sendiri keluar kenyataan dalam televisyen, itu penambahbaikan. Adakah PM membuat pelaksanaan lain daripada apa yang telah dipersetujui? Kita kena lebih dinamik. Tidak timbul isu orang kata nak mengkritik.
Bagaimana Datuk Seri melihat fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong?
Fungsi itu ada. Saya difahamkan mereka selalu bersidang. Malah, mereka telah meletakkan tanda aras tertentu. Contohnya apakah pemutus untuk kita membolehkan darurat ini dibubar semula ataupun dilihat semula untuk kita buka Parlimen.
Tetapi saya ada mendengar, saya bukan ahli jawatankuasa itu sendiri. Secara faktanya, dia punya tanda aras itu nampaknya kita lihat tidak membolehkan pembukaan Parlimen. Ini jawatankuasa bebas, ini pendapat mereka termasuk pembangkang.
Kalau kita lihat hari ini ada ketua parti yang tidak mahu melihat contohnya pergerakan orang ramai. Dia tidak mahu mengadakan pilihan raya contohnya.
Kerajaan mahukan pilihan raya, kita dalam kerajaan mahu perbaharui mandat bagi mengukuhkan kebolehan kerajaan hari ini mentadbir urus negara. Kita hendak secepat mungkin.
Tetapi disebabkan bencana Covid-19, maka kita tidak boleh nak laksanakan dan kita sedang mempercepatkan pemberian vaksin supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok yang membolehkan rakyat keluar mengundi sekiranya kita perlu mengadakan pilihan raya secepat mungkin.
Adakah isu pembahagian kerusi pilihan raya sudah diselesaikan oleh parti-parti dalam gabungan PN?
Dalam PN kita telah pun berbincang. Saya adalah seorang anggota biro politik dalam Bersatu, kita dah berbincang. Persoalannya adalah adakah kita cukup calon-calon yang boleh memenangi pilihan raya?
Macam kadang-kadang kita bernafsu nak bertanding, boleh ke kita menang di kawasan itu? Apakah kerja yang kita buat, apakah jentera yang kita ada? Apakah orang faham proses pilihan raya itu sendiri?
Ini adalah kerja yang sedang berlaku dari sudut pengurusan itu sendiri. Kalau kita lihat hari ini, kerusi-kerusi yang dipegang oleh Bersatu asal kalau nak diklasifikasikan begitu, saya lihat bukan begitu mudah untuk dipertahankan meskipun boleh menang semula.
Sebab kita kena ingat, dahulu kita ada kekuatan melalui satu gagasan yang dipanggil PH. Jadi di kawasan Parlimen separa Melayu, kita ada kekuatan yang dibantu parti lain.
Tapi sekarang ini kita berhadapan dengan senario perebutan pertandingan di kawasan majoriti Melayu, sebab kita kena pergi di tempat ini kerana UMNO akan bertanding. Adakah tempat UMNO bertanding kita tidak bertanding?
Itu sebab saya secara peribadi, usaha kita untuk menyatukan ummah dalam konsep melestarikan kepimpinan Melayu kena diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!