Prem, Madhuri telepas Olimpik Tokyo
KUALA LUMPUR - Dua atlet karate negara, S Prem Kumar dan P Maduri terpaksa melupakan impian ke Sukan Olimpik Tokyo bulan hadapan selepas masing-masing tewas dalam Kejohanan Kelayakan Karate Olimpik di Paris pada Jumaat.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018, Prem Kumar terlepas peluang dalam kategori lelaki bawah 67kg selepas tewas 2-4 kepada Edari Oussama dari Maghribi dalam pusingan Repechage.
Jaguh Sukan SEA berusia 27 tahun itu bermula dengan baik menewaskan Casper Lidegaard dari Denmark 3-2 dalam pusingan pembukaan dan seterusnya wakil Portugis, Diogo Ribeiro 1-0 dalam pusingan kedua.
Bagaimanapun, pemenang dua kali pingat gangsa Kejohanan Asia terlepas peluang ke suku akhir selepas disingkirkan 0-5 oleh Eray Samdan dari Turki, Juara Eropah yang melangkah ke final, dan memaksanya bekerja keras dalam pusingan Repechage.
Sementara itu, dalam kategori wanita bawah 55kg, Madhuri 21 disingkirkan pada pusingan ketiga selepas tewas 0-1 kepada Burkitt Carla dari Jerman.
Terdahulu pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Asia mengejutkan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 Cok Istri Agung Sanistyarani dari Indonesia dengan kemenangan 5-4 dan menumpaskan Valentina Toro dari Chile 2-1.
Jurulatih Skuad Karate negara, R Puvaneswaran berkata, kedua-dua atlet beraksi dengan baik walaupun selepas lebih dari 16 bulan tidak bertanding.
"Ia merupakan persiapan yang baik untuk kedua-dua mereka ke Sukan SEA dan Sukan Asia,” katanya ketika dihubungi.
Harapan terakhir negara untuk menghantar wakil dalam acara karate yang membuat penampilan sulung dalam Olimpik kini berada di bahu Juara Piala Dunia Karate1 2014 R Sharmendran dalam kategori lelaki bawah 75kg. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!