De Boer ramal tentangan sengit berdepan Ukraine
PENGENDALI Belanda, Frank de Boer meramalkan skuad kendaliannya itu bakal menerima tentangan sengit daripada Ukraine pada aksi Euro 2020 Kumpulan C, di Amstertam Arena, pada awal pagi Isnin.
Malah katanya, skuad Yellow and Blue itu dilihat memiliki ramai pemain berkualiti dan ia sekali gus memberikan gambaran bahawa pasukan dari blok Eropah Timur itu agak ‘liat’ untuk ditewaskan.
“Bagi saya pasukan dari Eropah Timur pada kebiasaannya memiliki pemain-pemain yang bagus dan berkualiti.
“Sekali gus, senario ini menjadikan Ukraine sebagai pasukan yang boleh dipandang mudah pada Euro kali ini kerana ia tidak boleh ditewaskan dengan mudah.
“Oleh itu, saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit kali ini; namun jika kami berjaya mengekang asakan lawan, peluang kami adalah cerah untuk ke pusingan seterusnya,” katanya.
Skuad Oranje itu bakal mengharungi aksi Euro 2020 kali ini tanpa kehadiran bek ‘kental’ Virgil Van Dijk serta pemain tengah, Donny van de Beek, berikutan masalah kecederaan.
Justeru tumpuan kali ini pasti terarah kepada pemain-pemain seperti Matthijs de Ligt di benteng pertahanan, Frenkie de Jong, Georginio Wijnaldum (tengah) serta Memphis Depay (serangan) bagi membantu pasukan kali ini.
Untuk rekod, kali terakhir Belanda muncul juara Euro ialah pada edisi 1988 lalu apabila menewaskan Russia atau yag dikenali Kesatuan Soviet Union (USSR) pada ketika itu, 2-0 di Stadium Olimpik, Munich pada 25 Jun.
Selain Ukraine, Belanda dijadualkan berdepan Austria pada 17 Jun sebelum berdepan Macedonia Utara pada 21 Jun.
Sementara itu De Boer menegaskan, biarpun skuad Oranje itu dilihat berpeluang mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan C kelak namun dia tetap berwaspada dengan tentangan yang bakal diterima daripada semua pasukan dalam kumpulan berkenaan.
“Belanda kini tidak lagi dilabel selaku pasukan pilihan sebagaimana saingan Euro sebelum ini; namun saya tetap optimis kita itu mampu mara lebih jauh pada saingan kali ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!