KADA tawar bangunan wujudkan PPV khas untuk petani
PASIR PUTEH - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menawarkan beberapa bangunan miliknya di enam jajahan di Kelantan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menarik lebih ramai golongan petani mendaftar seterusnya menerima suntikan vaksin Covid-19.
Bangunan itu terletak di Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh dan Rantau Panjang.
Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, surat tawaran tersebut juga telah dihantar kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sejak tiga minggu lalu.
Beliau berkata, pembukaan PPV khas untuk golongan petani perlu disegerakan kerana sebahagian besar mereka masih belum mendaftar.
“Sebahagian besar petani di kawasan itu belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan kerana mereka menghadapi pelbagai kekangan seperti tidak memiliki alat peranti untuk mendaftar dalam MySejahtera.
“Jika tawaran itu dipersetujui oleh JKNK, KADA akan mengemukakan beberapa bangunan yang sesuai untuk dijadikan PPV, pegawai KADA juga akan membantu pengurusan di pusat tersebut,” katanya di sini pada Sabtu.
Kamarudin berkata demikian ketika diminta mengulas usaha KADA untuk membantu kerajaan supaya lebih ramai rakyat termasuk golongan petani mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata jika tawaran tersebut dipersetujui, KADA juga akan menggunakan aset miliknya seperti lori dan van untuk membawa golongan petani ke PPV yang akan diwujudkan itu nanti.
“Selain itu KADA juga aktif memberi penerangan mengenai manfaat vaksin menerusi 13 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) membabitkan Jajahan Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh dan Rantau Panjang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!