Empat lokasi diserbu, 211 mesin bitcoin dirampas
GEORGETOWN- Polis menyerbu empat buah premis di lokasi berbeza, di sini dan merampas 211 buah mesin bitcoin bernilai RM100,000 dalam serbuan bermula jam 11.30 malam Jumaat hingga 3 pagi, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dibuat di empat buah rumah kedai di Metro Avenue di Lintang Hajjah Rehmah, Jalan Jelutong, Sungai Dua dan Lintang Sungai Tiram di Bayan Lepas.
Menurutnya, serbuan itu dibuat susulan penahananan empat lelaki dalam tiga serbuan yang dijalankan pada tengahari Jumaat.
"Susulan penahanan empat suspek semalam, kita menyerbu empat rumah kedai yang dijadikan pusat kegiatan perlombongan mata wang bitcoin secara haram," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Katanya, serbuan pertama adalah di Metro Avenue dengan rampasan 78 mesin bitcoin manakala 48 mesin dirampas dalam serbuan kedua di Jalan Jelutong.
"Kita turut merampas 38 mesin bitcoin dalam serbuan ketiga di Sungai Dua dan 47 mesin sama dalam serbuan keempat di Bayan Lepas. Selain itu, kita juga merampas set komputer, router, modem dan kipas dalam kesemua serbuan.
"Kesemua premis yang diserbu merupakan premis rumah kedai yang dijadikan tempat perlombongan mata wang bitcoin dengan mengunakan bekalan elektrik secara haram," katanya.
Soffian berkata, pemeriksaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati kabel elektrik di semua premis berkenaan telah diubah suai untuk mencuri bekalan elektrik.
"Ketika serbuan, bekalan elektrik di kesemua premis tersebut telah dipotong.
"Anggaran keseluruhan kerugian yang ditanggung TNB adalah RM420,00 untuk tempoh dua bulan," katanya.
Pada Jumaat, polis merampas 200 mesin bitcoin bernilai RM80,000 dalam serbuan di tiga premis rumah kedai di sekitar Jelutong, di sini pada jam 12.30 tengahari.
Polis turut menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun yang merupakan pekerja penyelenggaraan mesin tersebut.
Sebelum serbuan, polis menerima laporan daripada seorang penduduk di Jalan Perak yang terganggu dengan bunyi bising selain terasa bahang panas dipercayai dari premis tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!