RM4.5 juta untuk baiki cerun di Jeli: Mustapa

Mustapa (tengah) ketika meninjau keadaan cerun di laluan utama yang runtuh pada Sabtu.
Mustapa (tengah) ketika meninjau keadaan cerun di laluan utama yang runtuh pada Sabtu.
A
A
A

JELI - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk membaik pulih dua cerun yang runtuh di laluan utama Jalan Kampung Berdang – Sungai Rual di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, cerun tersebut runtuh disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu sejak awal tahun ini.

"Runtuhan masing-masing sepanjang 80 meter dan 100 meter di Seksyen 6.2 dan Seksyen 4.7 disebabkan hujan lebat ketika musim tengkujuh pada 11 Januari lalu.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melakukan pemeriksaan mengenai runtuhan ini dan laporan lengkap disediakan. Kerja-kerja untuk baik pulih akan dimulakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ditamatkan," katanya kepada pemberita semasa meninjau lokasi tersebut di sini pada Sabtu.

Mustapa (kiri) mendengar taklimat mengenai perkembangan cerun tersebut.
Mustapa (kiri) mendengar taklimat mengenai perkembangan cerun tersebut.

Menurutnya, laluan tersebut amat penting kepada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Rual memandangkan ia dapat menjimatkan masa untuk ke bandar Jeli.

"Sekarang ini masih ada yang gunakan laluan ini kerana laluan alternatif agak jauh. Namun saya nasihatkan semoga semua penduduk sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Pihak kami berharap kerja-kerja balik pulih dapat diselesaikan sebelum November memandangkan semakin hari cerun ini semakin teruk. Kita risau bila tiba musim tengkujuh nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!