Pembangkang di Sabah 'lemah', guna jalan belakang sertai PH: Darell
SHAH ALAM - Segelintir ahli politik pembangkang di Sabah yang kini mula meninggalkan parti untuk menyertai kerajaan PH disifatkan sebagai individu yang 'lemah'.
Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking berkata, definisi lemah itu bagaimanapun hanya merujuk kepada kumpulan ahli politik yang dahulunya ketika menjadi kerajaan dilihat sangat lantang mengkritik kerajaan hari ini.
Menurutnya, kumpulan itu itu juga sanggup menggunakan laluan belakang semata-mata untuk menjadi ahli PH.
"Dulu sewaktu kita menjadi pembangkang, mereka serang, hina dan labelkan kita dengan pelbagai nama...Mereka juga pernah tuduh Warisan sebagai proksi kepada Bersatu dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Tapi kini, baru sembilan bulan mereka jadi pembangkang selepas PRU14, dah tak boleh tahan dan mahu sertai kerajaan PH. Aneh bukan?Sebab itu saya gelarkan mereka lemah, "katanya ketika mengulas mengenai penyertaan sebahagian ahli parti pembangkang di Sabah ke dalam parti Bersatu.
Menurutnya, segelintir golongan itu akhirnya akur dan memutuskan untuk bersama dengan kerajaan hari ini.
"Kita mengalu-alukan penyertaan mereka bersama kita dan tak halang mereka untuk ikut parti.
"Kita faham mereka juga mahu meneruskan kelangsungan karier politik mereka... Kalau ahli yang baik masuk, itu normal tapi yang kuat kritik kita dulu jelas mereka ini lemah kerana mereka tak mampu jadi pembangkang serta berjuang untuk rakyat, "katanya.
Darell berkata, perbezaan golongan tersebut dengan pemimpin kerajaan hari ini juga sangat jauh.
Menurutnya, sewaktu beliau dan pemimpin kerajaan PH menjadi pembangkang, perjuangan dibuat habis-habisan.
"Sebelum ini, sewaktu menjadi pembangkang dapat banyak jemputan dari pihak kerajaan terdahulu yang ajak sertai mereka tapi kami teguh dengan parti... Lihatlah di mana kami hari ini, "katanya.
Dalam perkembangan lain, Darrel menegaskan tiada sebarang isu berhubung kemasukan Bersatu ke Sabah.
"Ia sudah dijelaskan oleh Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini.
"Kini kita fokus kepada usaha untuk membangunkan Sabah dan berharap kumpulan ahli politik yang baru itu akan dapat belajar sesuatu daripada kepimpinan PH dan Warisan, "katanya.
Terdahulu Darell yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hadir untuk lawatan kerja buat pertama kali ke Selangor bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan, pelaburan, perindustrian dan pelaburan negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!