Langgar SOP: DBKL sita sayur peniaga kaki lima Pasar Pudu
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan terhadap peniaga yang melanggar Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama kerana menjalankan aktiviti perniagaan Pasar Terbuka di Jalan Yew, Pudu, di sini.
Unit Media DBKL menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, tindakan dilaksanakan oleh 23 anggota penguat kuasa melalui satu pemantauan bermula jam 5 pagi sehingga jam 1 tengahari.
Menurutnya, hasil pemantauan mendapati peniaga terbabit didapati melanggar arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang mana pasar terbuka pagi tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan.
“Sejumlah 10 tindakan sita terhadap pelbagai sayuran yang diletakkan di kaki lima dan atas jalan dilaksanakan, termasuk tiga tindakan sita terhadap barangan penjaja sayuran yang dioperasikan oleh bukan warganegara telah diambil.
“Selain itu, satu tindakan sita telah dilakukan terhadap sebuah kenderaan jenis Perodua Rusa yang digunakan bagi tujuan menjaja ikan segar selain sebuah kenderaan jenis Toyota Vios ditunda di Jalan Yew, di sini atas kesalahan menghalang laluan,” kata kenyataan tersebut pada Sabtu.
DBKL turut mengambil satu tindakan Notis Kompaun di bawah Seksyen 25 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Peraturan 16 iaitu tidak mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku pelanggan ketika memasuki kedai runcit ubat.
“Satu Notis Kompaun di bawah UUK20 (1)(b) dikeluarkan terhadap premis menjual produk makanan.
“Para peniaga adalah dinasihatkan untuk tidak menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Pemantauan dan tindakan oleh DBKL akan dilaksanakan dari masa ke masa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!