Buka semula permohonan UPU: Pemuda MIC

Surat Pemohonan Pemuda MIC kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT).
Surat Pemohonan Pemuda MIC kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT).
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda MIC berharap Kementerian Pengajian Tinggi menimbang cadangan untuk membuka semula sistem permohonan UPU selama 14 hari bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Ahli Majlis Tertingginya, Sadhis Kumar Letchumanan berkata, ramai pelajar lepasan SPM dan STPM tercicir daripada membuat permohonan disebabkan tempoh masa bermula Januari 2021 hingga April 2021.

“Perlu diingatkan di sini bahawa semua pelajar lebih fokus dalam menyediakan diri mereka untuk peperiksaan dan bukan permohonan UPU.

“Keadaan tahun ini amat berbeza yang mana pelajar menduduki peperiksaan dalam satu situasi yang amat kritikal dan mencabar.

“Terdapat juga pelajar mempunyai kekangan untuk mengakses internet terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Sadhis Kumar berkata, sistem permohonan UPU mengambil kira berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan sebelumnya.

“Terdapat segelintir pelajar yang tidak menduduki peperiksaan percubaan atas faktor pandemik yang tidak menentu.

“Hal ini menyebabkan mereka gagal membuat sebarang permohonan dengan harapan permohonan akan dibuka kembali,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ketua Biro Pengajian Tinggi MIC Kedah berkata, pihaknya telah menghantar surat permohonan pembukaan sistem UPU kepada Menteri KPT, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Pemuda MIC Kebangsaan berharap Datuk Seri akan memberi pertimbangan yang sewajarnya dan membolehkan pelajar lepasan SPM serta STPM untuk kembali membuat permohonan,” jelasnya.

Jelasnya, kerajaan perlu lebih peka dengan keadaan semasa dan memberi perhatian khusus dalam menyelesaikan rintihan pelajar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!