Manfaatkan sektor swasta sebagai sumber daya, rakan kongsi
SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan kerajaan memanfaatkan sektor swasta sebagai satu sumber daya, rakan kongsi dan pengguna yang sesuai dengan keperluan masa hadapan sistem e-kerajaan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sektor kerajaan dan sektor swasta harus sedia berkolaboratif dan sanggup bertindak di luar bidang masing-masing bagi memastikan sistem e-kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata, sektor swasta adalah antara pemacu utama dalam pembangunan ekonomi dan kerajaan harus menggunakan kelebihan tersebut secara lebih berkesan semasa memacu strategi pelaksanaan pendigitalan.
“MCW yakin bahawa sistem pendigitalan e-kerajaan akan dapat mengurangkan rasuah di sektor kerajaan.
“Kerajaan perlu bekerjasama mendapatkan sokongan dan kepakaran sektor swasta serta semua rakyat untuk memahami dan membantu mengatasi cabaran teknikal bagi meningkatkan pengembangan dan penyampaian strategi ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jais berkata, ia memerlukan penglibatan semua pihak dan komitmen yang besar daripada kerajaan sendiri bagi mempercepat penyampaian sistem e-kerajaan.
“Setiap teknologi baru ini pasti ada kekuatan dan kelemahannnya di mana pakar di SPRM dan intelek di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mengkaji perkara ini sedalam-dalamnya.
“Paling penting, ia memudahkan proses ‘money trail’ (jejak wang) di mana kita tahu dengan jelas, wang itu daripada siapa dan ke mana,” ujarnya.
Tambahnya, kajian impak terhadap keberkesanan sistem tersebut terhadap perlakuan antirasuah penting dalam menghasilkan wawasan mengenai subjek yang sedang berkembang pesat di serata dunia.
“Semua cadangan ini perlu untuk mengelakkan kerajaan atau swasta mengembangkan sistem yang lebih mahal dan tidak bersesuaian dengan suasana dalam negara.
“Mengembangkan transaksi dalam talian atau pendigitalan ini sebenarnya tidak murah. Kalau salah memilih sistem atau kaedah pembangunan maka ruang untuk melakukan rasuah akan menjadi lebih besar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!