Usaha bendung Covid-19: Bersatu junjung kasih keprihatinan Agong
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hari ini merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan serta keyakinan terhadap langkah kerajaan dalam mentadbir negara.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini termasuk langkah yang diambil kerajaan dalam menangani penularan Covid-19.
Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk sekatan pergerakan penuh dan pewartaan beberapa ordinan darurat, terbukti mampu mengawal jangkitan Covid-19 dengan kes baharu harian sekitar 6,000 kes ketika ini, berbanding 9,020 kes pada 29 Mei lepas.
“Langkah ini juga berjaya mengelakkan peningkatan kes jangkitan harian yang tinggi secara eksponen di luar jangkaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu dan dilaksanakan melalui sidang video.
Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ordinan yang diwartakan kerajaan ketika ini ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021.
“Ini bagi melindungi rakyat dalam tempoh yang genting ini,” katanya.
Selain itu, mesyuarat MPT juga sebulat suara bersetuju meluluskan beberapa pindaan terhadap Peraturan Persidangan Bersatu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Srikandi dan Peraturan Sayap Bersekutu Bersatu.
Beliau berkata pindaan itu selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Bersatu yakin dan percaya bahawa pindaan-pindaan tersebut mampu memperkasakan gerak kerja parti, melicinkan urusan pentadbiran parti dan mengukuhkan akar umbi parti di setiap peringkat di seluruh negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!