Tidak adil salahkan pemain naturalisasi

Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh cuba melepasi kawalan pemain Vietnam pada perlawanan berkenaan
Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh cuba melepasi kawalan pemain Vietnam pada perlawanan berkenaan
A
A
A

PEMAIN naturalisasi tidak seharusnya dijadikan tumpuan untuk dipersalahkan apabila prestasi skuad Harimau Malaya dilihat tidak berada pada tahap yang dikehendaki khususnya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sebaliknya, Pengurus Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tumpuan juga perlu diberikan kepada keseluruhan pasukan termasuk pemain-pemain tempatan yang kelihatan tidak menepati tahap prestasi sebagaimana yang diperlukan pasukan.

Menurutnya, pemain tempatan turut dilihat tidak menepati sasaran sebagaimana yang diharapkan pada aksi kelayakan berkenaan.

“Bukan sahaja pemain naturalisasi, saya pun tak mahu tumpukan seolah-olah dalam pasukan kita ni hanya ada pemain naturalisasi, maksud saya, kenapa kita tumpukan hanya kepada pemain naturalisasi bila prestasi pasukan bukan tidak berada pada tahap kita yang kita jangka atau kehendaki?

“Ia sebenarnya melibatkan keseluruhan pasukan bukan hanya pemain naturalisasi. Lagi pun, pada aksi berdepan Vietnam hanya dua pemain naturalisasi yang kita turunkan iaitu Sumareh (Mohamadou) dan De Paula (Guilherme).

“Tetapi bagi saya, memang kita harapkan pemain naturalisasi bermain lebih baik berbanding pemain tempatan, namun permainan berpasukan seperti ini banyak faktor yang perlu diambil kira bagi menetapkan sama ada pemain naturalisasi memberikan impak atau tidak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam

Sementara itu Mohd Yusoff berkata, bantahan akan mengemukakan bantahan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekiranya terbukti pengadil membuat kesilapan memberikan sepakan penalti kepada Vietnam dalam aksi kelayakan berkenaan.

Katanya, pihaknya akan membuat penilaian secara menyeluruh mengenai insiden pada minit ke-83 itu yang dilihat menjadi pencetus kepada kemenangan 2-1 Vietnam.

Artikel Berkaitan:

Malah, ramai peminat bola sepak negara dilaporkan mempertikaikan keputusan pengadil, Ryuji Sato yang memberikan sepakan penalti kepada Vietnam.

"Ada yang kata bahawa ia bukan penalti. Pada saya sendiri, kalau tengok kepada Brendan selepas pengadil memberikan penalti itu dia duduk. Maknanya pada saya memang ada sentuhan daripada Brendan.

“Tetapi, secara peribadi saya menganggap reaksi Brendan Gan selepas pengadil memberi sepakan penalti kepada Vietnam menunjukkan memang ada kesilapan yang dilakukan pemain itu dan sama ada sentuhan itu menjadikan satu penalti atau tidak saya tak boleh komen, namun daripada segi reaksi Brendan yang duduk selepas pengadil memberikan penalti, ia menunjukkan dia sedar yang dia ada melakukan kesalahan.

"Apa pun, kita akan melihat secara keseluruhan kalau kita perlu buat bantahan. Bahagian teknikal kita akan menilai dan jika perlu bantahan kita akan buat," katanya.

Pada perlawanan berkenaan Vietnam membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi Nguyen Tien Linh sebelum pemain naturalisasi, Guilherme de Paula menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-73 bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, Vietnam berjaya menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan skuad Naga Emas itu hasil sepakan penalti Que Ngoc Hai pada minit ke-83.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!