Kemelut PSM: Tokoh sepak takraw negara puji usaha PJS

Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Tan Sri Yusoff Latiff
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Tan Sri Yusoff Latiff
A
A
A

INISIATIF Pesuruhjaya Sukan (PJS) menubuhkan pasukan petugas membabitkan wakil Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan kumpulan 12 (G12) bekas ahli gabungan badan induk tersebut disifatkan pendekatan terbaik dalam mencari penyelesaian kemelut PSM.

Malah menurut salah seorang pengasas awal persatuan sepak takraw negara ini, Tan Sri Yusoff Latiff, usaha PJS itu secara tidak langsung memberi sinar baharu untuk persatuan sukan tertua negara tersebut kembali semula memberi fokus terhadap pembangunan sukan warisan tersebut.

Katanya, beliau percaya kejayaan PJS menyatukan kedua-dua pihak menerusi penubuhan pasukan khas merupakan satu petanda positif ke arah menyegerakan proses pembaharuan PSM.

“Kesudian G12 dan keterbukaan PSM untuk duduk semeja dengan PJS menjadi orang tengah, perlu dimanfaatkan sebaik pihak terlibat sebaik mungkin mencari formula yang tuntas bagi menyelesaikan masalah ini.

“Penggiat dan komuniti sukan sepak takraw negara pada titik penyelesaian kemelut antara PSM dan G12, sudah tentunya amat mengharapkan badan induk tersebut mengalami proses reform baik dari aspek kepimpinan, urus tadbir dan perlembagaan.

“Saya berdoa dengan adanya formula penyelesaian ini, semua pihak selepas ini akan kembali bersatu memastikan sepak takraw dimainkan di Sukan Olimpik sekaligus menjadi juara pertama selepas melakukannya di Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 dan Sukan Asia Hiroshima 1994,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada masa sama, Yusoff juga menasihati supaya bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (PSTPP) sementara menunggu kesnya dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selesai melalui proses perundangan.

“Saya secara jujur mengakui Tok Mat telah banyak berjasa dalam mengangkat imej sukan warisan ini baik di peringkat kebangsaan dan negeri sepanjang menerajui PSM.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga percaya perkara ini juga diakui dalam kalangan komuniti sepak takraw negara sebagai contoh menerusi idea penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) yang berjaya memupuk kesedaran tinggi dalam kalangan generasi muda untuk lebih mengenali sukan ini.

“Namun hukuman penggantungan dikenakan ASTAF terhadap Tok Mat daripada menyertai sebarang program, aktiviti dan acara berkaitan selama 17 tahun yang dijangka berakhir pada 2030, akan memberi impak negatif kepada pembangunan di peringkat negeri,” kata Yusoff.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!