Pertemuan istana yang mendebarkan

No Image Caption
A
A
A

MINGGU ini kita menyaksikan episod pemimpin-pemimpin parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ia mirip kepada pertemuan presiden parti dengan Yang di-Pertuan Agong pada Februari-Mac 2020 ketika pembentukan gabungan kerajaan baharu.

Pelbagai spekulasi berlegar dalam kalangan masyarakat. Apakah berulang peristiwa sama? Euphoria kali ini berbeza. Trending humor dan berita palsu menghangatkan suasana.

Beberapa nama muncul sebagai Perdana Menteri dan kerjasama politik baharu – satu fenomena merujuk kepada insiden mirip Mac 2020 yang menarik netizen berseloroh di alam maya.

Beberapa kenyataan dikeluarkan sebaik selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan pembentu-kan kerajaan baharu tidak dibangkitkan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menekankan bahawa Seri Paduka bersimpati dengan kedudukan kewangan rakyat. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO pula menyuarakan pandangan tidak perlu darurat selepas 1 Ogos dan kewajaran Parlimen bersidang.

Yang menarik perhatian adalah kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pro-tem parti Pejuang yang mencadangkan penubuhan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) 1969. Apakah ia model Kerajaan Perpaduan yang pernah disuarakan beliau pada Mac 2020 selepas peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh?

Jika diambil kira pertemuan beberapa pemimpin berkenaan, ternyata ia tertumpu kepada soal darurat, pembukaan semula Parlimen, isu Covid-19 dan vaksin, ekonomi serta pilihan raya umum.

Artikel Berkaitan:

Adakah ia akan menjadi tema dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas pada 16 Jun 2021 untuk membuka lembaran baharu ke atas peristiwa mu-takhir tanah air?

Parlimen

Adakah pembukaan Parlimen termasuk Parlimen Hibrid dapat membantu perkongsian informasi dan maklumat ke arah menjadikan krisis Covid-19 sebagai ‘Krisis Nasional’ yang memerlukan masing-masing mengetepikan fahaman politik dan bersama.

Begitu juga dengan tidak melanjutkan tempoh darurat, ia dijangka membolehkan pihak berwajib memberi tumpuan ke atas perintah kawalan di bawah kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan masih berfungsi seperti biasa. Beberapa Jawatankuasa juga ditubuhkan untuk berbincang dan memberi perhatian ke atas isu induk. Ia adalah darurat kesihatan, berbeza dengan darurat keselamatan yang dilaksanakan pada 1969, beberapa hari selepas berlakunya rusuhan perkauman Mei 1969.

Negara diletakkan di bawah perintah berkurung dan kemudiannya darurat diisytihar. Mageran ditubuh atas nasihat Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman untuk memberi perhatian ke atas isu pemulihan, perpaduan dan keselamatan.

Bagi Dr Mahathir, Mageran 2.0 bertujuan melibatkan golongan yang ada kepakaran dan bukan ahli politik, bertanggungjawab kepada Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong. Hari ini, Seri Paduka dinasihati oleh Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

Dengan adanya kabinet dan berperanan sebagai kerajaan sah, sudah pasti idea Mageran 2.0 bukan pilihan, melainkan kerajaan mengambil inisiatif tersebut.

Hatta, apakah jika sekiranya Parlimen kembali bersidang, Jawatankuasa Pilihan Khas boleh ditubuhkan untuk memain peranan bersama dalam isu Covid-19 atau Jawatan-kuasa Induk Parlimen Covid-19 – antara pemerintah dan pembangkang, melengkapi peranan semak dan imbang kedua-duanya sehingga mandat dikembalikan kepada rakyat.

Tidak mustahil jika rakyat diutamakan. Rakyat khuatir isu yang menghimpit mereka, tertekan dengan kelangsungan hidup. Psikik Covid-19 amat menakutkan.

Justeru, istana penggemudi ‘suara rakyat’ bertelapakan kearifan Yang di-Pertuan Agong. Payung Raja Berperlembagaan pasti akan memberikan keutamaan meredakan kegelisahan rakyat, selain amalan demokrasi diberi suluhannya. Saga ketidaktentuan politik juga belum tentu ada penghujungnya. Sama-sama kita nantikan 16 Jun 2021.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!