KPDNHEP, MAFI pastikan harga produk pertanian stabil
TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan bekalan serta harga produk pertanian stabil.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kedua-dua kementerian sentiasa berbincang untuk pastikan petani dan penternak tidak teraniaya manakala pengguna pula mendapat harga yang tidak terlalu mahal.
Menurutnya, usaha itu dilakukan bagi memastikan wujudnya situasi menang-menang di antara petani dan pengguna di negara ini.
"Kita memang mempunyai hubungan yang rapat dengan MAFI kerana MAFI jaga peladang, kita jaga pengguna. Kalau kita kekurangan ayam kita tak ada kuasa untuk keluarkan tapi harga bawah kita. Hubungan kita terlalu rapat, jika ada masalah kita akan bincang.
"Begitu juga dengan harga minyak masak. Kita bekerjasama rapat dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana mereka yang memproses minyak manakala harga kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan minyak masak dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekitar Bandar Teluk Intan pada Ahad.
Sementara itu, Rosol memaklumkan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga sayur di pasaran.
Katanya, harga sayur di pasaran ketika ini berpatutan malah terdapat sayur yang mengalami penurunan harga berbanding ketika musim perayaan sebelum ini.
"Contohnya macam cili, sebelum ini ketika musim perayaan kita tetapkan harga RM15 sekilogram, hari ini RM6 sekilogram.
"Harga ini juga bergantung kepada jenis kesegaran sayur, yang segar mungkin mahal sikit, yang tua mungkin murah sikit tapi kalau ada maklumat (kenaikan harga) boleh maklum kepada kita," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan tahap pematuhan SOP dalam kalangan pengguna dan peniaga amat tinggi sepanjang tempoh tinjauan yang dilaksanakan.
Katanya, penguatkuasaan pematuhan SOP sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 sehingga 11 Jun 2021 telah menghasilkan 160 kes melibatkan syarikat dan individu yang telah gagal mematuhi pematuhan SOP di bawah Akta 342 dengan nilai kompaun sejumlah RM1.09 juta.
Beliau berkata, antara kesalahan dikesan seperti gagal mendaftar masuk menggunakan buku atau aplikasi MySejahtera sebanyak 22 kes, gagal menyediakan garisan penjarakan 1 meter (18 kes), menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan (15 kes) dan sebagainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!